Ajal ketika kutip kotak jatuh di tengah jalan

Seorang warga emas maut dilanggar pikap dalam kemalangan di Jalan Punai malam ini.

SARIKEI-- Seorang warga emas lelaki maut dipercayai dilanggar kenderaan pikap ketika cuba mengambil kotak miliknya yang dikatakan terjatuh di tengah jalan di Jalan Punai di sini lewat petang tadi.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei Lt. (PA) Shahrol Azizi Zaidi, mangsa dikenali Ting Chin Wong berusia 73 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jelasnya, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu sekitar jam 7.18 malam. 

Mangsa dipercayai dilanggar ketika cuba mengambil kotak miliknya yang dikatakan terjatuh di tengah jalan.

"Skuad Charlie menerima satu panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 7.18 malam berhubung insiden kemalangan jalan raya.

"Tiba di lokasi, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dari hospital," katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan mangsa sebelum kejadian dikatakan menunggang motosikal sambil membawa sebuah kotak.

Dipercayai kotak yang dibawa mangsa telah jatuh di tengah jalan di lokasi kejadian.

Mangsa kemudiannya memakirkan motosikalnya di tepi jalan untuk mengambil semula kotaknya yang terjatuh.

Semasa mengambil kotak berkenaan mangsa dipercayai telah dilanggar sebuah kenderaan pikap.

Kes masih dalam siasatan polis.
Next Post Previous Post