Agong, Permaisuri zahir ucapan tahniah kepada Guru Berdedikasi Cambridge 2022

Gambar kredit FB Istana negara

KUALA LUMPUR—Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada guru Kolej Vokasional Keningau Sabah, Khalifa Affnan yang dinobatkan sebagai pemenang global Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2022.


Turut menzahirkan ucapan tahniah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.


Menerusi hantaran di Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan Khalifa yang sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.


“Seri Paduka berdua menzahirkan harapan agar pencapaian cemerlang ini menjadi suntikan semangat kepada beliau dan juga rakyat untuk terus bekerja keras dan mencapai kejayaan pada masa hadapan di bidang masing-masing.


“Seri Paduka berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Khalifa Affnan dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan. Syabas dan tahniah,” menurut hantaran itu.


Khalifa melakar sejarah negara setelah muncul guru Malaysia pertama terpilih merangkul anugerah berkenaan dan juga terdahulu di peringkat serantau, atas pencapaiannya dalam mencetuskan satu projek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).


Beliau dinobatkan sebagai pemenang selepas menewaskan 7,000 peserta lain dari 113 negara.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post