Zuraida jangka industri getah terus berkembang selepas nilai eksport cecah RM71 bilion

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) Datuk Zuraida Kamaruddin mengadakan program lawatan kerja rasmi ke kilang Meditech Gloves Sdn Bhd di Nilai hari ini. Gambar kredit FB KPPK 

NILAI— Industri getah negara berpotensi untuk berkembang tahun ini selepas merekodkan nilai eksport mencecah RM71 bilion pada 2021, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata daripada nilai tersebut produk sarung tangan getah kekal sebagai produk eksport utama  menyumbang RM54.81 bilion iaitu 55.4 peratus lebih tinggi daripada 2020.

"Pelbagai program telah dilaksanakan oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi membantu pemain industri getah, antaranya menyediakan pakej insentif yang bertujuan untuk menyokong pengeluar produk getah," katanya ketika mengadakan lawatan ke Meditech Gloves Sdn Bhd, di sini, hari ini. 

Zuraida berkata LGM juga memperkenalkan Linkage Fund (ILF) bagi mengalakkan kerjasama antara industri dan universiti menerusi projek penyelidikan dan pembangunan yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan indusri getah.

Selain itu, katanya, bagi menambah pendapatan pekebun kecil, KPPK juga berusaha untuk menaikkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 sekilogram kepada RM3.50 sekilogram.  

Sementara itu Ketua Pengarah LGM Datuk Dr Zairossani Mohd Nor berkata penubuhan Koridor Lateks Pantai Timur (KLPT) oleh kerajaan merupakan antara usaha untuk mengalakkan pengeluaran lateks tempatan.

Katanya kerajaan juga menyediakan peruntukan untuk membangunkan infrastruktur bagi pusat pengumpulan lateks dan penggunaan teknologi bagi mengalakkan pekebun kecil menghasilkan lateks dalam kuantiti yang banyak.

"Negara memerlukan 400,000 tan getah lateks setahun tetapi bekalan tempatan hanya mampu mengeluarkan 40,000 tan sahaja. Hampir 90 peratus diimport dari Vietnam dan Thailand.

"Jadi pengeluaran lateks tempatan perlu ditingkatkan, sebenarnya pengeluaran getah dalam negara mencukupi, cuma ia dihasilkan dalam bentuk sekerap," katanya.

Zairossani berkata keluasan ladang getah di seluruh negara adalah sebanyak 1.04 juta hektar dan keluasan bagi negeri Pantai Timur lebih kurang 400,000 hektar.

Beliau menambah, kerajaan juga merancang untuk menjadikan Sarawak sebagai hub pengeluaran lateks dengan keluasan ladang getah di negeri itu berjumlah hampir 50,000 hektar.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.