TH serah zakat RM2 juta pada Baitulmal Sarawak

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tengah) menyaksikan majlis ringkas penyerahan zakat Tabung Haji kepada Tabung Baitulmal Sarawak yang berlangsung di pejabatnya bertempat di Wisma Bapa Malaysia tengahari ini tadi. Gambar kredit Sarawakku

KUCHING— Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan zakat berjumlah RM2,036,294 bagi tahun kewangan berakhir 2021, kepada Tabung Baitulmal Sarawak.

TH dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Amrin Awaluddin telah menyerahkan pembayaran zakat tersebut, kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Menurut Amrin, bayaran zakat itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab TH sebagai sebuah organisasi Islam yang prihatin, dengan sasaran memperkasakan kewangan Islam dan membangunkan sosio-ekonomi ummah bagi manfaat golongan asnaf.

“Jumlah keseluruhan bayaran Zakat TH bagi tahun 2021 terus mencatatkan peningkatan sebanyak 1.4 peratus, iaitu RM107.197 juta berbanding RM105.712 juta pada tahun 2020.

“TH berharap pembayaran zakat ini dapat dimanfaatkan oleh Tabung Baitulmal Sarawak, ke arah kemampanan program-program zakat yang dirangka di negeri ini bagi kelestarian ekonomi golongan asnaf,” katanya menerusi kenyataan tersebut.

Pada tahun ini, TH turut memperuntukkan RM28.8 juta bagi melaksanakan program-program tanggungjawab sosial korporat, yang memberi impak positif kepada golongan asnaf.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.