Tiga diberkas termasuk dua wanita Vietnam, dadah bernilai RM40,540 dirampas


KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak berjaya merampas dadah bernilai RM40,540 dengan tiga individu ditangkap termasuk dua wanita Vietnam dalam satu operasi khas di sini pada 4 April lalu.

Timbalan Ketua JSJN Sarawak Superintenden Wong Leong Meng berkata, dalam operasi sekitar jam 2.30 petang itu telah menahan seorang lelaki Cina tempatan bersama sejumlah dadah.

"Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan yang dinaiki oleh lelaki berkenaan turut menjumpai sejumlah dadah.

"Hasil daripada maklumat susulan dan dipandu arah oleh lelaki berkenaan, pada hari yang sama, pasukan JSJN Sarawak telah membuat satu serbuan di sebuah kediaman pangsapuri di Kuching.

"Dalam serbuan ini, polis telah menahan dua wanita warganegara Vietnam yang berumur 24 dan 33 tahun yang berada di dalam kediaman tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.


Tambah Wong, hasil pemeriksaan ke atas kediaman tersebut telah berjaya menjumpai sejumlah dadah.

Jelasnya, antara dadah yang dirampas dalam operasi itu, jus campuran serbuk ecstacy sebanyak 58 paket (RM37,700), Ketamin 13.35 gram (RM2,000), Pil Ecstacy 13 biji (5.08 gram, RM 390) dan Erimin 5 30 biji (RM450).

Selain itu, katanya, polis juga merampas sebuah kereta jenama Proton bersama kunci, kad akses pangsapuri dan wang tunai berjumlah RM6,220.

"Dadah yang dirampas dalam operasi ini dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 700 penagih.

"Ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 6 hingga 12 April 2022 untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.

Tegasnya, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup dan hendaklah, jika tidak dihukum dengan hukuman mati, dihukum dengan hukuman sebatan yang tidak kurang daripada lima belas sebatan.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan dadah yang berlaku disekeliling mereka.

"Maklumat tersebut boleh disalurkan kepada talian Hotline JSJN Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui aplikasi WhatsApp ditalian 012-2087222," tambahnya.
Next Post Previous Post