Dua suspek kes bunuh antara 39 individu dikehendaki


KUCHING: Polis kini giat memburu 39 individu dikehendaki termasuk dua suspek kes bunuh bagi membantu siasatan kes berkaitan jenayah sejak tahun 2000 sehingga kini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, dua individu dikehendaki itu mempunyai rekod terlibat dalam kes bunuh yang berlaku di Batu Kawa pada tahun 2011.

"Daripada jumlah itu, 36 individu dikehendaki adalah lelaki, manakala dua orang wanita warga tempatan dan seorang wanita Indonesia.

“Lapan kes melibatkan jenayah berat yang membawa hukuman penjara 10 tahun dan ke atas.

“Manakala 11 orang terlibat dengan pelbagai jenayah harta benda dan 20 orang lagi membabitkan lain-lain kesalahan jenayah,” katanya dipetik menerusi laporan Suara Sarawak hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas berkaitan Kes Orang Dikehendaki Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di Bilik Mesyuarat JSJ, IPD Kuching, di sini hari ini.

Tambah Ahsmon, kesemua individu terbabit berumur dalam lingkungan 24 sehingga 60 tahun.

Katanya lagi, daripada jumlah 39 individu itu, tiga lelaki penjawat awam telah dibuang kerja susulan terlibat dengan kes jenayah termasuk rogol, mencuri dan pembolosan (lari daripada tugas).

Tegasnya, pihaknya telah melaksanakan beberapa siri operasi untuk mengesan serta menjejak, namun setakat ini masih belum dapat diselesaikan.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang awam untuk berkongsi maklumat agar semua individu tersebut dapat dikesan bagi menyelesaikan siasatan kes.

"Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah DSP Mohd Hafizi Ishak pada talian 017-2336343 atau melalui Pegawai Operasi ASP Baharudin Sabang di talian 013-5654600," ujarnya.
Next Post Previous Post