Rumah sembelih babi Krokop dibuka semula mulai 25 April


MIRI-- Rumah sembelihan babi MCC Krokop di sini akan dibuka semula pada 25 April ini selepas memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sarawak.

Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata dengan pembukaan ini kelak akan memberikan manfaat kepada penternak babi, penjual daging babi di kedai-kedai, pasar basah dan juga kepada pengguna.

"Merujuk kepada permohonan MCC, sukacita dimaklumkan bahawa rumah sembelihan babi di Krokop akan dibuka semula pada 25 April 2022 kerana telah memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh DVS Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Walau bagaimanapun, Dr Rundi memberitahu pengoperasian rumah sembelih ini hendaklah mengikuti SOP dan garis panduan rumah sembelih babi seperti yang telah ditetapkan.

Jelasnya, garis panduan rumah sembelih babi yang dikemas kini telah dikeluarkan oleh JPV Sarawak dan boleh didapati melalui laman web rasmi Jabatan atau melalui Pejabat Perkhidmatan Veterinar terdekat.

"Tujuan garis panduan ini dirangka adalah bagi menambah baik prosedur operasi standard sedia ada.

"Demam Babi Afrika (ASF) adalah penyakit berjangkit di kalangan babi sahaja yang sangat cepat merebak, tiada rawatan dan tiada vaksin.

"Pencegahan melalui sistem biosekuriti yang ketat dan efektif diperingkat ladang amat penting untuk menghidari penyakit ini terus merebak," tegasnya.

Oleh itu, tegasnya, para penternak babi di seluruh Sarawak sekali lagi diingatkan untuk meningkatkan biosekuriti ladang masingmasing kerana penyakit ASF adalah sangat 'contagious'.

Katanya lagi penternak babi diluar bandar adalah dilarang untuk memburu babi hutan dan memberi lebihan dapur yang tidak dimasak kerana boleh menyebabkan ternakan babi anda dijangkiti.

"Adalah dimaklumkan bahawa bekalan daging untuk musim perayaan Gawai adalah mencukupi dan daging babi adalah selamat kerana dibekal dari ladang yang bebas ASF
di mana lebih 2,000 ekor babi disembelih setiap minggu di abattoir yang berlesen dan diperiksa oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak.

"Manakala Sarawak masih mengekport 2,000 ekor babi hidup ke Singapura setiap minggu dan ini membuktikan bahawa Singapore Veterinary Services dan Singapore Food Authority (SFA) mengiktiraf langkah-langkah kawalan yang telah dilaksanakan di Sarawak," ujarnya.
Next Post Previous Post