Kasih ibu dan anak Isa, sentiasa berharap mangsa dijumpai


SEBUYAU-- Suasana hiba menyelubungi perkarangan pangkalan Feri Triso di sini dengan kehadiran ahli keluarga Isa Uja, lelaki yang dilaporkan hilang di Sungai Rama selepas bot fibernya berlanggar dengan kapal muatan pasir yang berlaku pada 20 April lalu.

Lebih menyedihkan, ibu mangsa dilihat menitipkan bungkusan makanan dengan harapan ia sampai kepada anaknya yang hilang itu.


Malah, anak mangsa juga mengalunkan azan di pangkalan feri berkenaan dengan harapan bapanya akan ditemukan.

Video suasana itu tular di media sosial Facebook selepas dimuat naik seorang pengguna, Safa Junior dipercayai salah seorang ahli keluarga mangsa.

 
Hari ini merupakan hari ke-3 operasi mencari dan menyelamat (SAR) Isa, 35 tahun, yang dilaporkan hilang pada Rabu lalu selepas bot fiber yang dinaikinya bersama seorang rakannya berlanggar dengan kapal muatan pasir yang berlaku sekitar jam 3 pagi.

Jurucakap Pusat Gerakan Bomba Sarawak sebelum ini memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 12 tengah hari Khamis yang memaklum pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memohon bantuan bomba untuk membuat pencarian seorang mangsa hilang akibat pelanggaran sebuah bot fiber dengan sebuah kapal muatan pasir.

"Mangsa bersama seorang rakannya dalam perjalanan balik ke Sebuyau dari menangkap ikan di laut berhampiran kawasan Sungai Rama, secara tiba-tiba bot fiber yang dinaiki mangsa dan rakan mangsa terlanggar sebuah kapal dengan muatan pasir.

"Akibat daripada perlanggaran tersebut bot fiber tersebut telah terbalik. Rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berpegang pada tali kapal pasir manakala mangsa hilang.

"Usaha mencari telah dilakukan oleh rakan mangsa namun mangsa masih gagal dijumpai sebelum rakan mangsa tampil ke balai polis Sebuyau untuk membuat laporan dan mohon bantuan untuk mencari mangsa," katanya.

Tambah bomba, lokasi sebenar kejadian adalah di perairan kawasan Kuala Batang Lupar.

Jelasnya, operasi SAR turut dibantu oleh agensi lain dan penduduk kampung dengan bot persendirian.

Setakat ini mangsa belum dijumpai.
Next Post Previous Post