Rakyat Sarawak berhak nikmati harga petrol dan LPG lebih murah, Violet Yong

Gambar hiasan kredit Petros LPG Min Soon

KUCHING—Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending Violet Yong menegaskan setiap rakyat Sarawak berhak untuk menikmati hasil sumber kekayaan minyak dan gas negeri dengan harga yang lebih rendah bagi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) yang dijual melalui Petroleum Sarawak Berhad (Petros).

Memetik laporan The Borneo Post Online beliau berkata, Sarawak dan rakyatnya tidak boleh terus 'berputih mata' dalam menikmati hasil pengurusan dan pembangunan sumber minyak dan gas negeri ini.

“Sekiranya kerajaan Sarawak sanggup dan bermurah hati untuk berkongsi kekayaan daripada minyak dan gas dengan Petronas sejak 1974 hingga hari ini, kenapa perlu merampas hak rakyat Sarawak daripada mendapat layanan istimewa itu?” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Violet memberitahu Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga telah berjanji tentang ini kepada rakyat Sarawak semasa salah satu acara pelancaran Petros yang diadakan sebelum Pilihan Raya Negeri Ke-12.

Menurutnya, Abang Johari mengatakan sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya menang besar pada pilihan raya negeri, beliau akan mencari cara untuk membolehkan rakyat Sarawak menikmati harga silinder LPG istimewa.

“Diharap Premier Sarawak tidak lupa pada janjinya tetapi komited untuk menunaikan janji itu. Lagipun GPS sudah memenangi lebih dua pertiga majoriti pada pilihan raya negeri lalu dan diberi mandat untuk mentadbir Sarawak,” katanya lagi.

Tambahnya, dengan berbilion-bilion hasil tahunan yang masuk ke dalam tabung negeri daripada sumber minyak dan gas, kerajaan Sarawak sepatutnya mampu memberikan harga yang lebih baik kepada rakyat Sarawak.

“Ia hanya soal sama ada kerajaan Sarawak kita mempunyai kemahuan politik yang kuat untuk melaksanakannya atau tidak,” tegasnya.

Violet juga menggesa Abang Johari untuk menurunkan harga produk petroleum yang mana ia adalah sah dan bukan untuk ‘win brownie points’ seperti yang didakwa oleh ADUN Tupong Fazzrudin Abdul Rahman.

“Hakikat kerajaan persekutuan telah memberi subsidi kepada harga petrol, diesel dan silinder LPG, ini tidak bermakna kerajaan Sarawak dilarang di bawah mana-mana undang-undang bertulis daripada memberi subsidi juga,” katanya.

Di bawah Ordinan Perlombongan Minyak 1958, Yong berkata kerajaan Sarawak mempunyai semua kawalan dalam mengawal selia sumber minyak dan gas di Sarawak.
Next Post Previous Post