Polis sahkan pemuda Sarawak mati dibunuh di Australia

Rangka yang ditemui dikenal pasti dan disahkan adalah Chong Kai Wong atau Jacky yang dilaporkan hilang pada November 2016. - Foto POLIS AUSTRALIA

KUALA LUMPUR: Angkara tertarik dengan tawaran gaji lumayan, kita sering mendengar warganegara Malaysia masuk ke Australia lalu berkerja secara haram.

Ramai yang menjadi mangsa penipuan, dan paling tragis seorang pemuda berasal dari Sarawak ditemukan mati disyaki dibunuh di Australia.

Kes itu terbongkar apabila Polis Australia menemui mayat lelaki dipercayai warga Malaysia di kawasan pedalaman di barat laut Bathurst di New South Wales (NSW), pada Ahad

Mayat itu dijumpai kira-kira jam 3.30 petang selepas penyiasat memulakan pencarian di sebuah kawasan luar bandar di Killongbutta.

Menurut laporan Berita Harian Online, Media tempatan yang memetik agensi berita 9news melaporkan, identiti rangka manusia ditemui itu dikenal pasti sebagai Chong Kai Wong atau Jacky.

Katanya, Polis Australia memaklumkan, mangsa pernah dilaporkan hilang dan dipercayai mati antara 25 Disember 2020 hingga 8 Januari 2021 selepas berlaku salah faham dengan kartel dadah di mana dia bekerja sebagai 'penjaga' kira-kira 1,000 batang pokok ganja.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan penemuan rangka manusia di New South Wales, Australia, adalah rakyat negara ini yang ditawarkan pekerjaan di ladang oleh sindiket dadah didalangi warga asing.

"Hasil semakan mendapati mangsa yang dipercayai dibunuh lebih setahun lalu adalah lelaki berusia 25 tahun dan berasal dari Sarawak.

"Laporan media tempatan berhubung kematian lelaki dipercayai warga Malaysia di Australia adalah benar," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ayob Khan memberitahu mangsa dikatakan memasuki Australia pada November 2016 menggunakan visa pelancong dan ditawarkan sebagai pekerja ladang oleh sindiket berkenaan.

Tambahnya lagi, siasatan berhubung kes itu masih diteruskan pihak berkuasa Australia.

"Sebarang perkembangan akan dimaklumkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, PDRM menyeru semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi bagi mengelak timbul sebarang kekeliruan kepada masyarakat berhubung kes itu.

Sebelum ini, media tempatan di negara tersebut melaporkan, pihak berkuasa memaklumkan mayat itu akan menjalani pemeriksaan forensik dan proses pengecaman menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan identitinya.

Namun, walaupun mayat belum dikenal pasti secara rasmi, polis percaya ia adalah milik Jacky.

Difahamkan pada 2021, pasukan petugas polis yang menyiasat kes sindiket dadah mendapati warga Malaysia berusia 24 tahun itu tidak dapat dikesan.

Sementara Daily Mail dipetik berkata, tiga lelaki berumur 33, 22 dan 28 didakwa pada akhir Mac lalu berhubung kematian Jacky, lapor The Australian.

Mendiang dikatakan telah menetap di Sydney sejak 2016, namun tidak menghubungi keluarganya sejak 28 Disember 2020, yang memberitahu polis mereka percaya Jacky mungkin bekerja di NSW sebelum kehilangannya.

Manakala Komander Skuad Dadah dan Senjata Api, Detektif Superintendan John Watson dipetik berkata, kumpulan penjenayah berkenaan sering menyasarkan golongan muda dengan menjanjikan pulangan lumayan.

"Mangsa lazimnya ditawarkan kerja berkaitan penanaman atau pemprosesan ganja di kawasan terpencil dan inilah hakikat menyedihkan dalam kes ini.

"Kartel dadah dianggotai penjenayah tegar yang hanya mementingkan keuntungan cepat dan tidak mempedulikan langsung mengenai nyawa manusia," katanya.
Next Post Previous Post