Polis rampas syabu, ganja bernilai RM1.2 juta

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain (tiga kanan) menunjukkan dadah yang dirampas semasa sidang akhbar di sini hari ini. Gambar kredit BERNAMA

GEORGE TOWN—Polis Pulau Pinang menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah selepas menahan 11 individu dan merampas dadah jenis syabu dan ganja bernilai hampir RM1.2 juta dalam siri serbuan di sekitar negeri ini, baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kedua-dua sindiket yang beroperasi di negeri ini sejak November lepas itu dipercayai mempunyai rangkaian di beberapa negara jiran dan mendapatkan bekalan di sana sebelum mengedarnya di sekitar Pulau Pinang.

"Sindiket pengedaran pertama itu berjaya ditumpaskan selepas polis menyerbu di tepi pantai Tanjung Asam, Teluk Kumbar dekat sini pada 11 malam Isnin (28 Mac) dan menahan seorang lelaki berusia 35 tahun bersama 20 bungkusan syabu seberat 21.02 kilogram (kg) dalam sebuah bot nelayan di situ.

"Dadah yang dirampas bersama nelayan itu bernilai RM756,720 dan polis kemudiannya menyerbu sekali lagi lokasi yang sama pada 1 pagi Selasa (29 Mac) sebelum menahan seorang lelaki warga asing berusia 44 tahun yang merupakan mekanik," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya berdasarkan siasatan, semua syabu yang dirampas dibawa masuk dari negara jiran menerusi laluan laut dan dipercayai sindiket tersebut menjalankan urus niaga pada waktu tengah malam di laut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Mohd Shuhaily berkata polis kini sedang mengenal pasti rangkaian sindiket pengedaran dadah itu yang dipercayai berada di sekitar negeri ini dan semua syabu yang dirampas boleh digunakan oleh 105,100 penagih dadah.

"Polis turut menyita sebuah kereta bernilai RM10,000 daripada mereka. Lelaki tempatan yang ditahan itu positif dadah dan mempunyai rekod berkaitan dadah serta kedua-dua mereka kini direman sehingga 4 April ini bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Pulau Pinang telah melancarkan sembilan serbuan di sekitar negeri ini dan di Sungai Petani, Kedah, serta menahan sembilan individu termasuk dua wanita yang berusia lingkungan 25 hingga 55 tahun, Rabu lepas (30 Mac).

Katanya sebanyak 164 ketulan mampat ganja seberat 163.64 kg telah dirampas dan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran melalui Perlis, sebelum ke Pulau Pinang menerusi jalan darat untuk pasaran sekitar negeri ini.

"Daripada sembilan individu yang ditahan itu, tiga lelaki dan seorang wanita positif dadah, manakala empat lagi mempunyai rekod dadah serta jenayah. Semua mereka kini direman sehingga 6 April ini dan kedua-dua kes tersebut disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post