Pesara wanita rugi RM1.19 juta ditipu Macau Scam

Superintenden Maria Rasid

MIRI-- Seorang pesara wanita berusia awal 60-an dari Marudi rugi RM1.19 juta selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Superintenden Maria Rasid berkata, kes itu dilaporkan pada 13 April 2022, yang mana mangsa memaklumkan beliau telah terima panggilan telefon dari seorang perempuan memperkenalkan diri sebagai “Alisya binti Osman” yang mengaku sebagai pegawai dari sebuah syarikat insurans di Kuala Lumpur pada 15 oktober 2021.

"Suspek mengatakan mangsa telah membuat empat kali tuntutan insuran perubatan semasa mangsa dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur, namun mangsa menafikan perkara tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, panggilan telefon kemudian telah disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai “Sarjan Mejar Fazli Azman” dari Balai Polis Pudu dan mengatakan bertugas di bahagian siasatan jenayah.

Jelasnya lagi, suspek kemudian mengatakan mangsa perlu membersihkan namanya kerana telah membuat tuntutan insuran palsu.

"Selepas itu, panggilan telefon telah disambungkan kepada seorang lagi suspek memperkenalkan diri sebagai “Mastura” yang dikatakan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah.

"Pada hari berikutnya, mangsa terima panggilan telefon dari “Mastura” dan mengatakan kes mangsa diserahkan kepada “Ani” Pegawai Penyiasatan Bukit Aman kerana dia mempunyai tugas lain," dedah Maria.

Beliau memberitahu, mangsa telah diberikan satu nombor telefon untuk menghubungi “Ani”.

Setelah mangsa menghubungi suspek, katanya, mangsa telah diarahkan membuka akaun semasa di sebuah bank untuk membantu siasatan polis.

"Selepas membuka akaun bank baru, mangsa telah mendaftarkan perbankan dalam talian (online) akaun barunya dengan nombor yang diberikan suspek.

"Mangsa kemudian telah diarahkan memindahkan kesemua wang ASB, wang simpanan, dan wang pinjaman keseluruhan berjumlah melebihi RM1.19 juta ke dalam akaun bank yang baru dibukanya itu," ujarnya.

Jelasnya, mangsa hanya menyedari telah ditipu oleh suspek setelah membuat semakan akaun bank miliknya melalui mesin atm di sebuah bank di Marudi dan mendapati wang keseluruhannya melebihi RM1.19 juta telah dipindahkan ke sembilan akaun atas nama individu yang tidak dikenali melalui 52 transaksi di antara 28 Oktober 2021 sehingga 29 Mac 2022.
Next Post Previous Post