Mahu gertak tetapi tertikam paha suami guna pisau hingga sebabkan kematian

Gambar hiasan

KOTA SAMARAHAN— Seorang tentera meninggal dunia akibat pendarahan banyak selepas terkena tikaman pisau pemotong sayur di paha oleh isterinya yang berlaku di sebuah kediaman kem tentera di sini malam tadi. 


Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram berkata, mangsa berusia 28 tahun, seorang anggota tentera disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak ketika menerima rawatan akibat luka tikaman pisau di bahagian paha sebelah kiri.

"Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan telah menerima maklumat daripada Hospital Umum Sarawak berkaitan kematian seorang lelaki yang dibawa ke hospital untuk rawatan akibat cedera di bahagian paha akibat tikaman pisau.

"Hasil siasatan awal polis mendapati berlaku pergaduhan antara mangsa dengan isteri di kediaman mereka di sebuah kem tentera di Kota Samarahan yang dipercayai berlaku pada semalam (4 April 2022) jam 10.30 malam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, akibat pergaduhan tersebut, pisau pemotong sayur yang digunakan oleh isteri mangsa untuk mengertak suaminya itu telah tertikam pada bahagian paha suaminya menyebabkan berlaku pendarahan yang banyak.

"Mangsa yang kehilangan banyak darah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan dan telah disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan di hospital berkenaan," dedahnya.

Berikutan itu, Sudirman menegaskan isteri mangsa berusia 24 tahun telah ditahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Selain itu, katanya polis juga merampas sebilah pisau pemotong sayur dan pakaian suspek semasa kejadian.

"Siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Suspek telah ditahan di lokap Balai Polis Kota Samarahan untuk proses permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut berkaitan kes ini," ujarnya.
Next Post Previous Post