Tiada jalan, tiket mahal, rakyat utara Sarawak sengsara

Rakyat tiada pilihan terpaksa bergantung dengan pengangkutan sungai. Datuk Dr Abdul Rahman (gambar sisipan)

LIMBANG— Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) digesa memberi subsidi tambang bagi perkhidmatan express Limbang ke Lawas bagi meringankan beban penduduk utara negeri ini yang bergantung kepada laluan sungai untuk ke kedua-dua daerah terbabit terutama menjelang musim perayaan ini.

Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata penduduk perlu mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM35 bagi perjalanan sehala ke Lawas/Limbang yang disifatkan agak mahal dan membebankan.

“Kita memohon kepada MOT supaya memberi subsidi tambang kepada rakyat bagi perkhidmatan express dari Limbang ke Lawas sebagaimana yang diberikan untuk perkhidmatan express Limbang ke Labuan sebanyak RM15 bagi perjalanan sehala terutama menjelang musim perayaan ini,”katanya kepada Borneo Network pada Isnin.

Penduduk perlu mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM35 bagi perjalanan sehala ke Lawas/Limbang yang disifatkan agak mahal dan membebankan.

Pada masa ini pengangkutan sungai menjadi sangat penting buat rakyat di utara negeri ini yang ingin berulang alik sama ada ke Lawas mahupun ke Limbang bagi urusan rasmi ataupun urusan seharian.

Ia berikutan keputusan negara Brunei menutup sempadan susulan pandemik COVID-19 yang melanda sejak lebih dua tahun lalu.

Bagi perjalanan menggunakan bot express akan mengambil masa perjalanan tiga jam merentas perairan Negara Brunei sambil menikmati pemandangan bawah Jambatan Sultan Haji Omar Ali Saiffuddien, Temburong (Brunei) yang mempunyai jarak 30 kilometer menjadikannya jambatan terpanjang di Asia.

ADUN Bukit Kota itu juga memohon agar MOT melalui Syarika MasWing perkhidmatan Limbang untuk menambah kekerapan penerbangan di bahagian ini termasuk dari Limbang ke Miri atau Limbang ke Kuching dan Lawas ke Miri ketika musim perayaan Hari Raya, Gawai Dayak dan hari biasa.

Jelasnya tindakan itu perlu susulan jadual penerbangan dari Limbang ke Miri atau Limbang ke Kuching yang sentiasa penuh ditambah penerbangan berkurangan jika cuaca tidak mengizinkan.

“Bukan saja tambah kekerapan penerbangan, tetapi juga turunkan harga tiket, ini yang kita minta,”ujarnya lagi.
Next Post Previous Post