Lelaki didakwa lapan tuduhan tender projek pasang lampu LED tidak wujud

Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas lapan pertuduhan menipu berkaitan tender projek pemasangan lampu led.

KUCHING— Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lapan pertuduhan kerana menipu berkaitan tender projek pemasangan lampu led yang tidak wujud di Sabah melibatkan kerugian RM470,000 yang dilaporkan pada 16 Januari lalu.

Tertuduh, Jaafar Zakaria, 57 tahun berasal dari Kota Belud, Sabah didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan di tiga Mahkamah Majistret berasingan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu menipu seorang lelaki berusia 53 tahun dari Batu Kawa berkaitan tender projek pemasangan lampu led yang tidak

wujud di Sabah melibatkan kerugian RM470,000.00 yang dilaporkan pada 16 januari 2022.

Di Mahkamah Majistret pertama, dia yang tidak diwakili peguam bela mengaku tidak bersalah di atas tiga pertuduhan yang dibacakan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad di hadapan Majistret Sharifah Fatimah Azura Wan Ali.

Majistret Sharifah Fatimah kemudian membebaskan tertuduh dengan jaminan tunai RM2,000 dan jaminan mahkamah RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret dua, tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan Pegawai Pendakwa Inspektor Shafiqah Nyaie Lilin di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Mahkamah turut membebaskan tertuduh dengan jaminan tunai RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dengan dua orang penjamin tempatan.

Sementara di Mahkamah Majistret tiga, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas dua lagi pertuduhan yang dibacakan Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Tertuduh kemudian dibebaskan dengan jaminan tunai RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan.

Dalam pada itu, mahkamah menetapkan 24 Mei 2022 bagi pengurusan pra perbicaraan kes.

Difahamkan tertuduh membayar kesemua jaminan itu.
Next Post Previous Post