CEO, pengarah eksekutif, dua pegawai Serba Dinamik dikompaun RM3 juta seorang

Gambar arkib 

KUALA LUMPUR—Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengenakan kompaun maksimum terhadap Serba Dinamik Holdings Bhd, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Pengarah Eksekutif dan dua pegawainya sebanyak RM3 juta setiap seorang kerana mengemukakan penyata kewangan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Bhd.

Menurut SC, individu tersebut ialah CEO dan Pengarah Urusan Kumpulan Serba Dinamik Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah, Pengarah Eksekutif Datuk Syed Nazim Syed Faisal, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Azhan Azmi serta Naib Presiden Akaun dan Kewangan Muhammad Hafiz Othman.

“Muhammad Hafiz juga telah dikompaun sebanyak RM1 juta lagi, saman maksimum yang dibenarkan, kerana memalsukan rekod perakaunan syarikat subsidiari Serba Dinamik Sdn Bhd, satu kesalahan di bawah Seksyen 368(1)(b)(i) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya beliau telah dikenakan pertuduhan kerana terlibat dalam mengarahkan penyediaan dokumen palsu berkaitan penjualan Serba Dinamik Sdn Bhd. 

Menurut SC, kompaun itu dikenakan dengan persetujuan bertulis daripada Pendakwa Raya dan selaras dengan kuasa di bawah Seksyen 373(1) CMSA.

“Ini berikutan keputusan Pendakwa Raya menerima representasi yang dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara oleh Serba Dinamik dan individu terbabit berkenaan pertuduhan yang belum diselesaikan di mahkamah,” katanya.

SC berkata ini merupakan kompaun maksimum yang boleh dikenakan di bawah Seksyen 369(a)(B) CMSA atas pengemukaan maklumat palsu dalam penyata kewangan syarikat.

“Serba Dinamik dan individu terbabit telah dikenakan pertuduhan kerana mengemukakan penyata palsu tersebut kepada Bursa Malaysia Securities Bhd pada 26 Feb 2021, berhubung dengan angka hasil sebanyak RM6.014 bilion yang terkandung dalam laporan suku tahun bagi keputusan disatukan bagi suku tahun dan tahun berakhir 31 Dis 2020,” katanya.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.