Cubaan seludup kereta digagalkan, tiga PATI diusir pulang ke negara asal

Lelaki tempatan yang ditahan di Lundu ketika cuba menyeludup keluar sebuah kereta melalui sempadan ke Indonesia

LUNDU—Cubaan seorang lelaki tempatan untuk menyeludup keluar kenderaan jenis Proton Exora di kawasan Ladang Sawit Rimbunan, kawasan Pos Kandaie (50 meter dari sempadan Malaysia -Indonesia) berjaya dipatahkan anggota tentera dalam Op Benteng pada Isnin.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen dalam kenyataan hari ini berkata, dalam kejadian sekitar jam 10.10 malam Isnin itu, anggota yang sedang melaksanakan rondaan berkenderaan telah terserempak dengan sebuah kenderaan yang mencurigakan di kawasan Ladang Sawit Rimbunan di sini.

"Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang tidak mempunyai cukai jalan yang sah.

"Kenderaan tersebut juga dipercayai untuk diseludup keluar dan dijual di Indonesia," katanya. 

Tiga lelaki warganegara Indonesia diserahkan kepada Tentera Negara Indonesia kerana cuba memasuki Malaysia secara tidak sah.

Jelasnya nilai rampasan kenderaan tersebut dianggarkan berjumlah RM45,000.

Tambahnya, lelaki terbabit bersama kenderaan yang dirampas telah diserahkan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Lundu untuk siasatan lanjut.

Dalam kejadian berasingan, katanya, anggota yang sedang melaksanakan rondaan telah terserempak dengan tiga individu mencurigakan di sekitar kawasan Ladang Kelapa Sawit Rimbunan, kawasan Pos Kandaie (300 meter dari sempadan Malaysia - Indonesia).

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati individu tersebut yang terdiri daripada tiga lelaki berusia sekitar 38 hingga 41 tahun merupakan warganegara Indonesia yang cuba masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak sah.

"Tiada rampasan dibuat dan kesemua PATI tersebut telah dibuat pengusiran dan diserahkan kepada Tentera Negara Indonesia (TNI) dari Pos Kumba Semunying," ujarnya.

Selain itu, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Daerah Lundu.

Sehubungan itu, tegasnya, Tentera Darat terus komited mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara terutama dalam memastikan tiada sebarang pencerobohan PATI mahupun sebarang bentuk jenayah rentas sempadan berlaku yang berisiko menyumbang kepada penularan wabak COVID-19.
Next Post Previous Post