BBP Kidurong mulai beroperasi
Anggota bergambar di hadapan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong yang sudah mulai beroperasi. Gambar BBP Bintulu |
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak, Datu Khirudin Drahman@Hussaini dalam kenyataannya hari berkata, BBP Kidurong ini merupakan balai bomba Kategori D ke-9 beroperasi selepas BBP Asajaya, Tanjung Manis, Daro, Selangau, Sibu Jaya, Belaga, Tatau dan Batu Niah.
"Balai bomba kategori D ini beroperasi melalui pengisian perjawatan seramai 28 orang yang terdiri daripada pelbagai pangkat dan diketuai oleh Ketua Balai Gred KB26," ujar beliau.
Balai Bomba dan Penyelamat Kidurong. Gambar BBP Bintulu |
BBP ini menurutnya telah dilengkapi dengan kekuatan aset iaitu sebuah jentera pemadaman FRT (Fire Rescue Tender), sebuah jentera utiliti dan sebuah bot menyelamat.
Katanya, perolehan BBP Kidurong ini sangat unik sebab buat julung kalinya JBPM keluar dari lingkungan kebiasaan skop perolehan bangunan balai bomba iaitu melalui tapak dan bangunan komersil bernilai RM1.27 juta.
"Ia merupakan BBP kategori D yang paling ekonomi berbanding pembinaan bangunan balai bomba kategori D yang kebiasaannya menelan kos perolehan sebanyak RM7 juta secara puratanya," ujar beliau.
Selain BBP Kidurong jelasnya yang mana pembinaannya melalui perolehan bangunan komersial sedia ada, JBPM Negeri Sarawak juga pernah membuat perolehan bangunan balai bomba dengan mengambil alih bangunan kerajaan sedia ada iaitu BBP Tatau pada tahun 2015 dengan kos sebanyak RM3 juta.
Secara amnya, bangunan asal BBP Tatau merupakan Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) yang lama.