Simpan rokok, minuman keras seludup dalam rumah burung

Foto IPD Mukah

MUKAH-- Sebanyak 50 karton rokok dan 36 karton minuman keras pelbagai jenama bernilai RM13,485 dirampas pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah dalam serbuan yang dijalankan ke atas sebuah stor dalam rumah burung di Jalan Tiong Hua petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata hari ini, serbuan yang dijalankan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah pada jam 2.30 menemukan pelbagai minuman keras jenama Tsingtao Pure Draft Beer, Camel Premium Beer dan Carlsberg Danish Pilsnew.

"Pemeriksaan lanjut turut menemukan 50 karton rokok pelbagai jenama juga dipercayai tidak bercukai," ujarnya.

Pasukan polis katanya turut menahan seorang wanita berusia 52 tahun yang turut mengaku memiliki kesemua minuman keras dan rokok terbabit.

Siasatan awal yang dijalankan ujarnya mendapati suspek gagal mengemukakan dokumen kebenaran memiliki minuman keras dan rokok tersebut.

Kesemua barangan rampasan kemudiannya dibawa ke IPD Mukah sebagai bahan bukti kes dan siasatan terperinci akan dijalankan terhadap suspek.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Next Post Previous Post