Premier Sarawak berkuatkuasa hari ini


KUCHING— Istilah 'Premier' yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi menggantikan nama jawatan Ketua Menteri kini digunakan secara rasmi selepas ia diwartakan berkuat kuasa hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion berkata, susulan pindaan tersebut telah diwartakan, Ketua Menteri akan disebut "Premier of Sarawak" dalam bahasa Inggeris manakala dalam Bahasa Malaysia sebagai "Premier Sarawak".

"Sementera itu, bagi istilah Pejabat Ketua Menteri akan dirujuk dalam bahasa Inggeris sebagai "Office of the Premier Sarawak" dan dalam Bahasa Malaysia sebagai "Pejabat Premier Sarawak," katanya dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini.

Dalam pada itu katanya, bagi istilah Timbalan Ketua Menteri akan dirujuk sebagai Timbalan Premier sementara Menteri Muda sebagai Timbalan Menteri berkuat kuasa tarikh yang sama.

Terdahulu, DUN Sarawak pada 15 Februari lalu telah meluluskan beberapa pindaan dalam Perlembagaan Negeri Sarawak dan antara pindaan itu ialah penukaran istilah Ketua Menteri kepada "Premier".

Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri (Pindaan) 2022 itu diluluskan selepas mendapat sokongan 67 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diikuti enam ADUN membantah dengan 16 ADUN membahaskan RUU berkenaan. -#sarawakupdateLIVE

Gambar arkib menunjukkan Abang Johari ketika mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Gedong pada 14 Feb.
Next Post Previous Post