Penggunaan RFID meningkat 18 peratus - Fadillah

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof ketika menjawab soalan berhubung pelaksanaan kemudahan pembayaran tol menggunakan teknologi RFID di Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR—Kadar penggunaan peranti Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) atau MyRFID bagi pembayaran tol meningkat sebanyak 18 peratus sejak diperkenalkan pada 2017, Dewan Rakyat diberitahu hari ini. 

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pemilihan teknologi RFID dilihat lebih berkesan berbanding teknologi Infrared yang digunakan bagi peranti SmartTag.

“Jika dibandingkan dengan SmartTag yang menggunakan teknologi Infrared, teknologi ini masih belum terbukti keberkesanannya dalam pelaksanaan sistem laluan terus pelbagai lorong (MLFF) berbanding teknologi RFID yang telah diguna pakai secara meluas oleh negara-negara maju yang telah melaksanakan sistem kutipan tol itu.

“Pelaksanaan teknologi RFID adalah selaras dengan hasrat kementerian untuk memperkenalkan sistem kutipan tol tanpa henti (MLFF) menggunakan pendekatan teknologi RFID dan dijangka dilaksanakan sepenuhnya menjelang tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) mengenai pelaksanaan kemudahan pembayaran tol menggunakan teknologi RFID di semua tol tertutup di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan berhubung langkah mengatasi masalah kesesakan di plaza tol susulan dakwaan ketidakberkesanan RFID, Fadillah berkata beberapa tindakan jangka masa pendek telah dilakukan antara lain, menempatkan petugas tol di plaza tol dan mengekalkan lorong Touch ‘n Go (TnG) dan SmartTag sedia ada.

“Kalau lihat sistem sedia ada, Touch n Go kita perlu berhenti untuk imbas sebelum palang dibuka dengan jumlah 450 kenderaan yang mampu diproses dalam tempoh satu jam, manakala SmartTag dan RFID mampu proses 1,000 kenderaan bererti ia juga mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Mohd Fasiah mengenai sama ada kerajaan bercadang untuk menghapuskan tol pada masa hadapan, Fadillah berkata kerajaan tidak mampu menghapuskan tol kerana pampasannya yang begitu besar.

Jelasnya, janji Pakatan Harapan untuk menghapuskan tol semasa pentadbiran  terdahulu juga tidak dapat dilaksanakan berikutan realiti kos yang ditanggung untuk membayar pampasan itu amat besar.

“Oleh itu, kita sekarang ini hanya lakukan perundingan untuk lihat bagaimana kita tidak bebankan pengguna dan dalam masa sama tidak membebankan kerajaan dari segi kedudukan kewangan kita. Menang-menang untuk semua pihak,” katanya.

Merujuk kepada harga jualan semasa bagi tag RFID, Dewan Rakyat turut dimaklumkan  bahawa pihak kerajaan telah meminta supaya pihak TnG Sdn Bhd untuk mengkaji semula kos-kos berkenaan bagi tujuan mengurangkan harga jualan tag tersebut.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post