Kes positif di Sarawak masih melebihi 1,000, satu kluster dan kematian baharu direkodkan


KUCHING: Sarawak hari ini merekodkan satu kluster baharu melibatkan jangkitan komuniti, satu kematian di Sibu dan 1,206 kes baharu jangkitan COVID-19.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menjelaskan, kluster komuniti itu adalah Kluster Lorong Cahaya Maju di Kuching melibatkan sebuah keluarga yang tinggal di Lorong Cahaya Maju.

"Kuster ini merebak di tempat kerja sehingga ke generasi jangkitan kedua yang mana kes indeks kepada kluster ini merupakan seorang lelaki warganegara tempatan yang dikesan melalui saringan individu bergejala di sebuah fasiliti perubatan swasta pada 25 Februari 2022.

"Jangkitan dipercayai berpunca daripada pergaulan rapat dalam kalangan ahli keluarga kes dan kontak rakan sekerja kes-kes positif yang terlibat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, dalam kluster tersebut, seramai 39 orang telah disaring yang mana18 daripadanya didapati positif termasuk kes indeks manakala 21 individu didapati negatif.

Kes kematian pula, JPBNS berkata, ia melibatkan lelaki berusia 35 tahun di Sibu yang meninggal dunia pada 23 Februari 2022 dan kes mempunyai latar belakang penyakit paru-paru obstruktif kronik.

Mengenai jumlah kes positif pula, jawatankuasa itu memberitahu dengan jumlah direkodkan tersebut merekodkan menjadikan jumlah kumulatif kes di negeri ini meningkat kepada 263,623 kes.

"Sebanyak 1,202 adalah Kategori 1 dan 2, sementara empat lagi kes adalah Kategori 3 hingga 5.

"Kuching kekal daerah merekodkan kes harian tertinggi dengan 450 kes, diikuti Sibu (188), Miri (166), Bintulu (75), Limbang 33 kes, Serian (32), Samarahan (28), Lawas (22), Sarikei dan Bau (21), Sri Aman (18), Subis (17), Belaga (15), Kapit (14), Mukah (13) dan Kanowit (10)," ujarnya.

Sementara, daerah lain merekodkan kes bawah 10, kecuali Daro, Bukit Mabong, Beluru dan Tebedu yang tidak merekodkan sebarang kes.
Next Post Previous Post