23 penternak rugi RM1.3 juta ikan air tawar mati akibat banjir buruk


KUALA TERENGGANU—Seramai 23 penternak di Kampung Beladau Selat dan Kampung Beladau Kepong di sini, terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM1.3 juta apabila ikan air tawar yang diternak sejak hampir setahun lalu mati akibat banjir luar biasa yang melanda Ahad lepas (27 Feb).

Wakil penternak di Kampung Beladau Selat Mohd Zelan Mat, 55, berkata arus deras dan berlumpur telah menyebabkan kematian terhadap ikan tilapia dan patin di dalam 59 sangkar di kampungnya dan empat sangkar di Kampung Beladau Kepong yang keseluruhannya seberat 126 tan.

“Saya sendiri pun rugi dalam RM268,000 apabila 25 tan ikan tilapia dan patin di dalam 17 sangkar milik saya mati. Ikan-ikan tersebut telah besar dan sudah boleh dijual. Jumlah kerugian itu tidak termasuk lagi dengan anak-anak ikan yang mati.

“Saya sasarkan untuk jual pada bulan puasa nanti. Setelah dua tahun tidak dapat menjual ikan dengan banyak kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), jadi bulan puasa tahun ini saya ingatkan boleh la untung banyak sikit tetapi ini pula yang terjadi,” katanya ketika ditemui di Kampung Beladau Selat, di sini hari ini.


Mohd Zelan yang telah 10 tahun menternak ikan air tawar di situ berkata kejadian yang berlaku pada Ahad lepas adalah yang paling buruk pernah berlaku sejak penternakan ikan air tawar di kampung tersebut bermula pada tahun 1995.

Malah katanya banjir besar pada 2014 juga tidak mendatangkan kesan yang seteruk ini kerana banjir pada Ahad lepas mendatangkan arus yang lebih deras dan berlumpur.

Sementara itu Marwan Bidin, 34, yang baru berkecimpung dalam penternakan ikan air tawar sejak lebih setahun lalu telah rugi kira-kira RM20,000 setelah 12 tan ikan tilapia dan patin di dalam enam sangkarnya mati ekoran bencana alam itu.

Lebih menyedihkan apabila Marwan telah menghabiskan RM40,000 yang disimpannya selama dua tahun, untuk memulakan projek penternakan ikan air tawar itu.

“Tidak sangka akan banjir seteruk ini. Saya belum sempat pun merasa hasilnya. Ikan tilapia dan ikan patin memang senang mati kalau ditimpa arus deras dan air keruh berbanding ikan lain seperti keli dan baung,” katanya yang reda akan ujian yang dihadapi itu.

Sementara itu Ahmad Salman Sazali, 22, berkata arus air laju dan keruh yang berlaku itu kawasan sangkar yang terletak di Sungai Terengganu itu merupakan aliran air banjir daripada Sungai Berang di Hulu Terengganu.

Beliau berharap pihak yang berkenaan dapat mendalamkan dasar di bahagian tepi sungai di kawasan tersebut supaya sangkar ikan mereka dapat dipindahkan ke situ.

“Sekarang ini kita terpaksa membina sangkar di kawasan tengah sungai kerana ikan air tawar hanya boleh hidup di kawasan air dalam. Namun arus sangat deras di kawasan tengah sungai terutama pada musim banjir,” katanya yang kerugian kira-kira RM30,000 apabila tiga tan ikan patin dan tilapia yang diternaknya mati akibat banjir tersebut.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri Dr Azman Ibrahim menasihati golongan penternak yang terjejas akibat banjir supaya melaporkan kerugian yang dialami ke jabatan yang berkaitan, seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan pihak polis.

Ia bagi membolehkan sebarang bentuk bantuan dapat disalurkan oleh kerajaan kepada penternak yang terkesan.

“Ambil gambar kejadian bencana, buat laporan kepada jabatan berkenaan dan buat laporan polis. Urusan seterusnya akan diuruskan di peringkat jabatan sama ada pertanian, veterinar, perikanan atau LKIM,” katanya ketika dihubungi Bernama.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post