'Geng Kong' tumpas


KUCHING: Polis berjaya melumpuhkan 'Geng Kong' yang terlibat dengan kegiatan pecah kilang, kedai dobi dan mesin layan diri (mesin vending) yang berlaku di sekitar bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, tiga lelaki termasuk seorang remaja berusia 15 hingga 21 tahun ditangkap pada 2 Mac lalu.

Selain itu, katanya, polis juga menahan seorang pemilik bengkel berusia 63 tahun yang membeli barangan hasil curi tersebut. 


"Tangkapan tersebut dilakukan berpandukan maklumat yang diterima yang mana kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau iaitu dua kes dadah dan lima kes curi," katanya pada sidang media hari ini.

Tambahnya, polis turut merampas barang kes daripada suspek.

Jelas Ahsmon, antaranya tiga buah motosikal, helmet dan beberapa peralatan seperti sarung tangan, alat pemotong, parang, pisau lipat, pemotong dan wayar yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk melakukan kegiatan pecah kedai dan pecah mesin layan diri.


"Siasatan awal mendapati suspek terlibat tiga kes samun, tiga kes curi motosikal, tujuh kes pecah kedai, dobi dan mesin layan diri di sekitar Kuching yang mana mana geng ini diketuai oleh suspek dikenali dengan panggilan 'Kong' berusia 20 tahun yang mempunyai lima rekod jenayah lampau.

"Seorang lagi suspek berusia 21 tahun mempunyai dua kes jenayah lampau manakala remaja terbabit tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau," katanya.


Tegasnya, kesemua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan selama empat hari bermula hari ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.


Mengulas tentang modus operandi geng itu, Ahsmon berkata, suspek dipercayai melakukan jenayah tersebut pada waktu pagi iaitu jam 2 hingga 5 pagi dengan menaiki motosikal dan menggunakan pencucuh api khas.

Beliau memberitahu, polis masih menjalankan siasatan berhubung kes tersebut selain mengenal pasti individu lain yang mungkin terlibat sama dalam membeli barangan yang dicuri.
Next Post Previous Post