Sarawak gesa kerajaan pusat percepat bina pusat kanser

Dr Sim merasmikan Sistem Pengimejan Pembedahan O-Arm di Borneo Medical Centre (BMC) di sini.

KUCHING—Sarawak menggesa kerajaan Persekutuan mempercepatkan pembinaan pusat kanser bagi kegunaan pesakit di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, beliau telah memaklumkan perkara tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa lawatannya ke Sarawak pada Sabtu.

"Bagaimanapun maklum balas daripada beliau (Ismail Sabri) tidak boleh didedahkan dahulu kerana saya perlu melaporkannya kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg," katanya berucap pada majlis pelancaran Sistem Pengimejan Pembedahan O-Arm di Borneo Medical Centre (BMC) di sini pagi semalam.


Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menambah, pusat kanser itu seharusnya dibiayai oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Januari lalu namun, pembayaran tersebut telah dilakukan oleh Kerajaan Sarawak.

Menurut beliau, Abang Johari telah memberitahu bahawa Kerajaan Sarawak akan membayar dahulu perbelanjaan itu sementara kerajaan persekutuan boleh membayar kepada kerajaan Sarawak nanti.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, KKM sedang mengkaji cadangan menubuhkan pusat kanser di Samarahan bagi mengembangkan perkhidmatan kanser di Sarawak.

Tambahnya, cadangan untuk membina Pusat Kanser Sarawak merupakan usaha bersama-sama Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, Dr Sim turut menyeru supaya pengamal perubatan tempatan bekerjasama dengan kerajaan selain memanfaatkan sistem penjagaan kesihatan di negeri ini.

"Ramai bakat muda berjaya dalam bidang masing-masing tetapi tidak mempunyai semangat untuk mengambil inovasi dan memanfaatkan bakat mereka terutama melibatkan kesihatan.

"Sarawak tidak boleh hanya menjadi sebuah negeri yang kaya dengan sumber tetapi mempunyai penduduk yang tidak sihat. Kesihatan adalah penting dan sistem penjagaan kesihatan perlu dipertingkat selaras dengan aspirasi di negeri ini.”

"Justeru, mereka yang mempunyai bakat dan berjaya dalam bidang masing-masing mesti mengubah minda dan berusaha mencari jalan bagaimana kita boleh bersama-sama menjadikan Sarawak sebuah negeri yang makmur,” katanya.

Sistem Pengimejan Pembedahan O-Arm yang merupakan platform pengimejan pembedahan direka untuk digunakan dalam pembedahan tulang belakang, tengkorak, ortopedik dan trauma.
Next Post Previous Post