Penunggang wanita maut motosikal hilang kawalan di jejambat Serian


SERIAN-- Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat kemalangan di jejambat Serian di Kilometer 60 Jalan Kuching Serian malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, dalam kemalangan yang berlaku sekitar jam 7.10 malam itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Angelee Tijah, 21, Kampung Bayur, Balai Ringin. 


"Kemalangan melibatkan dua buah motosikal yang bergerak dari Kuching menuju ke Balai Ringin.

"Apabila sampai di lokasi kemalangan, motosikal yang ditunggang oleh mangsa telah hilang kawalan semasa melalui selekoh di atas jejambat (Bulatan Durian) arah menuju ke Serian.

"Motosikal yang ditunggang oleh mangsa telah melanggar tembok pembahagi jalan lalu mengelongsor dan melanggar motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki, 22 yang bekerja sebagai penghantar makanan yang berada di hadapan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ekoran itu, jelasnya, penghantar makanan tersebut telah terjatuh bersama motosikal yang ditunggangnya.


Manakala wanita terbabit, Alexson berkata mangsa telah tercampak ke laluan bersebelahan dan cedera parah di kepala.

"Mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pegawai perubatan dari Hospital Serian yang datang ke lokasi kemalangan bersama ambulans," tambahnya.

Sementara, penghantar makanan katanya telah dibawa pihak ambulans ke Hospital Daerah Serian.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Serian menggunakan kenderaan pasukan," ujarnya lagi sambil menambah kedua-dua motosikal telah dibawa dan disimpan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serian untuk siasatan lanjut.

Tegasnya, kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Next Post Previous Post