Pelesenan MRSB mampu perkasa industri muzik Sarawak


KUCHING— Pengisytiharan Music Rights Sarawak Berhad (MRSB) sebagai sebuah badan pelesenan mengutip royalti buat penggiat industri muzik Sarawak, dilihat mampu mempergiatkan lagi industri kreatif negeri itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata langkah itu juga bertepatan bagi menjaga hak komposer dari Sarawak di samping memberikan manfaat yang optimum kepada mereka.

“Melalui perluasan fungsi MRSB, ia dapat membantu mempergiatkan lagi industri kreatif Sarawak, khususnya bagi mengurus tadbir hak ekonomi penggiat-penggiat seni di Sarawak bagi memastikan kelangsungan hidup melalui janaan hasil pendapatan royalti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Penyerahan Sijil Badan Pelesenan kepada MRSB di sini, hari ini.

Melalui sijil itu, MRSB kini merupakan antara badan pelesenan diisytihar oleh Pengawal Hak Cipta di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), yang diberi kuasa mengutip royalti muzik dan mewakili ahli-ahli eksklusif pemilik dan pencipta karya muzik, rakaman bunyi dan persembahan pelaku etnik Sarawak.

Sehingga kini, terdapat kira-kira 963 ahli yang berdaftar dengan MRSB.

Antara ahli yang bernaung di bawah MRSB ialah pencipta lagu, penulis lirik, penyanyi, pemuzik dalam rakaman lagu, pembikin video muzik dan syarikat rakaman.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.