Kakak menghidap kanser, adik pula kelainan upaya
Wakil Ahli Parlimen Rubiah Wang meluangkan masa melawat dan menyampaikan bantuan kepada Erna. Gambar kredit : FB Rubiah Wang |
Berat badannya dahulu 65 kilogram kini susut hingga ke 20 kilogram dan perlu mendapatkan rawatan kimoterapi tiga kali seminggu.
Begitulah dugaan yang terpaksa dihadapi Erna Shafikha Julaihi, 32 tahun, dari Kampung Mang Tradisi sejak mula-mula dikesan menghidapi kanser rahim sejak dua tahun yang lalu.
Malah, Erna yang dijaga oleh ibu bapanya turut mempunyai dua adik yang menghidapi masalah kelainan upaya penglihatan yang juga dijaga kedua orang tuanya.
"Ini merupakan satu dugaan yang luar biasa," kata Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang menerusi akaun Facebook rasminya, Pusat Khidmat Rakyat P197 Kota Samarahan hari ini.
Berikutan itu, Rubiah melalui wakilnya menghulurkan bantuan segera kepada mereka sebagai usaha untuk meringankan bebanan yang dipikul oleh ibu bapa Erna.
Erna kini berulang alik dari rumahnya ke Hospital Umum Sarawak tiga kali seminggu bagi mendapatkan rawatan kimoterapi.
Malah, beliau bergantung dengan ubat-ubatan yang dibekalkan serta hanya mampu makan susu formula khas sebagai alas perut.
Justeru, beliau memberitahu orang ramai yang ingin membantu bersama, boleh hubungi Ketua Kaum Kampung Mang Tradisi, Mohamad Dara sebelum datang memberikan bantuan.
"Moga-moga dengan keprihatinan dan bantuan bersama dapat mengeratkan ukhwah dan meringankan beban yang dihadapi oleh saudara kita ini," ujarnya.