Dua hero terima sijil penghargaan bomba

Dua penghuni Rh. Budol, Seruai dari Spaoh menerima sijil Hero Bomba sebagai penghargaan menyelamatkan rumah mereka daripada hangus pada 30 Januari tahun ini. Gambar kredit Bomba Sarawak

BETONG—Dua penghuni rumah panjang Budol, Seruai, Spaoh yang menyelamatkan rumah panjang tersebut daripada musnah terbakar, menerima sijil Hero Bomba pada majlis yang diadakan di Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Sri Aman pada Jumaat.

Kedua-dua mereka Michal Jone Simion@Simeon, 65, dan Welfred Tura, 53, masing-masing menerima sijil penghargaan daripada Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia yang disampaikan oleh Pengarah JBPM Negeri Sarawak Datu Khirudin Drahman@Hussaini semasa lawatan kerja beliau ke BBP Sri Aman.

Menurut Pegawai Operasi BBP Betong, PBK1 Henry Jugah kedua-dua penerima telah membantu menyelamatkan rumah mereka daripada hanggus terbakar dalam kejadian yang berlaku pada 30 Januari lalu.

"Ini merupakan satu penghargaan kepada kedua-dua hero yang berjaya memadam api sebelum pihak Bomba tiba.

"Keberanian mereka yang nekad untuk memadam api daripada merebak lebih pantas dan memusnahkan rumah mereka harus menerima pujian.

"Ini menampakkan program Bomba Komuniti yang pernah dianjurkan oleh pihak BBP Betong berjaya dan dapat meyakinkan setiap peserta dalam membantu memadamkan api jika berlaku kebakaran dan mereka merupakan peserta yang pernah hadir pada program yang dianjurkan pada tahun 2018 di Rumah Ambu Libau, Suri Tengah pada program anjuran DUN N37 Bukit Saban," katanya pada satu kenyataan yang dikeluarkan.

Tambahnya pada kejadian yang berlaku 30 Januari lalu, kedua mereka berjaya memadam api menggunakan empat unit alat pemadam api jenis debu kering(ABC).

"Kepantasan mereka berjaya memadam kebakaran yang bermula dari tingkat atas di pintu nombor 23 rumah panjang mereka sekaligus menyelamatkan kediaman mereka daripada musnah," ujarnya.

Turut hadir pada majlis penyerahan tersebut ialah Residen Bahagian Sri Aman, Datu Indit Bangai Dan Ketua Bomba Zon 3 Sarawak, Ramlan Marajan.
Next Post Previous Post