Nour Rania tidak pernah tidur dalam buaian- bapa

Yuseri membawa jenazah Nour Rania Asyifaa selepas dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar semalam.

SEREMBAN -- Kanak-kanak perempuan berusia setahun tiga bulan, Nour Rania Asyifaa Yuseri yang meninggal dunia selepas kepalanya dipercayai tersangkut pada kain buaian di pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Sri Sendayan, di sini semalam tidak pernah ditidurkan dalam buaian.

Bapanya, Yuseri Yusoff, 39, berkata semalam merupakan kali pertama anaknya diletakkan di dalam buaian oleh pengasuh malah ketika di rumah, anaknya juga tidak pernah diletakkan di dalam buaian.

“Ketika dimaklumkan isteri mengenai kejadian, saya berada di rumah bersama anak sulung perempuan berusia tujuh tahun. Saya kemudian bergegas ke Klinik Kesihatan (KK) Sendayan dan melihat doktor sedang berusaha memberi bantuan pernafasan.

“Pengasuh memaklumkan anak saya sukar tidur, jadi dia letakkan dalam buaian. Malam sebelum kejadian, anak saya kelihatan biasa sahaja, sudah setahun saya hantar dia ke pusat jagaan itu dan anak sulung juga pernah dihantar ke situ sewaktu kecil,” katanya kepada pemberita di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar di sini.

Bapa kepada tiga anak yang pernah diuji dengan kehilangan anak kedua pada 2020 akibat komplikasi kesihatan itu bagaimanapun reda dengan kejadian menimpa Nour Rania Asyifaa dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Nour Rania Asyifaa disahkan meninggal dunia di KK Sendayan pada 4.30 petang selepas seorang wanita yang juga pengasuhnya membawanya ke klinik berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof dilaporkan berkata kanak-kanak itu diberikan susu dan dibawa ke sebuah bilik di pusat jagaan itu untuk ditidurkan dalam buaian bersama dua kanak-kanak lain pada 12.30 tengah hari sebelum pengasuhnya keluar dari bilik itu untuk tugasan lain pada 2 petang.

Nanda berkata kematian kanak-kanak itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga keputusan bedah siasat diperoleh dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.