Hari Kraf Kebangsaan 2022 'Kraf Mewarnai Keluarga Malaysia'

Sebahagian hasil kraftangan dari Sarawak yang dijual semasa Hari Kraft Kebangsaan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay bermula 23 Februari hingga 7 Mac ini. Gambar kredit FB Sarawak Craft Council

KUALA LUMPUR— Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Kraftangan Malaysia menganjurkan program tahunan Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2022 yang berlangsung pada 23 Februari hingga 7 Mac 2022, bermula jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.


Bertemakan ‘Kraf Mewarnai Keluarga Malaysia’, program ini menggambarkan keunikan dan keindahan produk kraf yang dapat menceriakan kehidupan Keluarga Malaysia daripada pelbagai latar belakang kaum dan bangsa.

Penghasilan produk kraf juga dapat menjana pendapatan selari dengan aspirasi kerajaan dalam memulihkan ekonomi negara.


Menurut YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri MOTAC, “Penganjuran HKK 2022 kali ke-19 ini secara tidak langsung dapat memberi pengiktirafan terhadap penglibatan dan sumbangan usahawan, komuniti kraf serta penggiat kraf dalam pembangunan industri kraf negara.

Penganjuran ini juga sebagai medium terbaik yang menghimpunkan usahawan kraf dari setiap pelusuk negeri untuk memasarkan dan mempamerkan hasil kraf tangan tempatan dengan pelbagai rekaan terbaharu dan cita rasa moden serta kontemporari.”


Program ini berjaya menghimpunkan lebih 300 orang usahawan dan komuniti kraf dari seluruh Malaysia dengan pelbagai bidang seperti kraf tekstil, kraf hasil rimba, kraf hasil logam, kraf hasil tanah dan aneka kraf bagi aktiviti jualan dan promosi.

Selain daripada itu, beberapa pameran turut ditampilkan antaranya ialah pameran Koleksi Pakaian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Pameran Tokoh Kraf Negara 2022, Pameran Khas – Ratu Kain (Tekstil Songket), Pameran MYCRAFTSHOPPE, Pameran Institut Kraf Negara, Pameran Seni Kraf Anyaman, Pameran Produk Baharu, Pameran produk Komuniti Kraf serta Tokoh Kraf dan Diorama Teknik Pembuatan Kraf Tradisional.


Turut diadakan juga demonstrasi Kraf Kembang Api dan demonstrasi masakan cita rasa Keluarga Malaysia, Seminar Kraf, Interaktif Kraf seperti Anyaman, Batik, Tenunan, Creative Craft Studio dan Eksplorasi Adiguru Kraf, Persembahan Kesenian, Fun Craft Batik ikat & Celup dan Khidmat Iring.

Sambutan HKK 2022 turut dipromosikan menerusi Festival Kraf Kebangsaan di tujuh (7) pusat beli-belah seluruh negara iaitu Bintang Megamall Miri di Sarawak, Suria Sabah Shopping Mall di Kota Kinabalu, Sabah, Aeon Mall Bukit Indah di Johor, Aman Central Mall di Alor Setar, Kedah, Freeport A'Famosa Outlet di Alor Gajah, Melaka, KTCC Mall di Kuala Terengganu, Terengganu dan The Giant Superstore di Kangar, Perlis.


Pengunjung yang membeli produk kraf sepanjang HKK 2022 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur termasuk di Festival Kraf Kebangsaan 2022 boleh mendapat tawaran baucar tunai sebanyak RM30 bagi setiap pembelian dalam gandaan RM100.00.

--BERNAMA
Next Post Previous Post