JEDI lancar projek pokok angkat


JEDI bantu nelayan Sungai Tembus

GEORGE TOWN — Jaringan Ekologi dan Iklim (JEDI) Pulau Pinang hari ini melancarkan projek pokok angkat sebagai usaha melindungi pinggir pantai yang menjadi sumber rezeki nelayan di Sungai Tembus.

Setiausahanya, Ahmad Izzudin Azmi berkata, projek itu dibuat dengan kerjasama nelayan tempatan di Sungai Tembus, Penaga.


“Orang ramai boleh menyertai projek pokok angkat dengan bayaran RM30 sahaja bagi setiap pokok bakau yang ditanam,” katanya seperti dipetik MalayMail hari ini.

Tambah Ahmad Izzuddin, pihaknya mensasarkan untuk menanam sebanyak 200 pokok bakau di Sungai Tembus yang terletak di hujung utara Sungai Perai.

“Program ini penanaman pokok akan bermula pada 12 Februari. Justeru kami berharap mana-mana individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkemampuan menyertai program ini.”

“Mereka boleh membeli seberapa banyak pokok mengikut kemampuan. Hasil kutipan akan digunakan  digunakan nelayan di situ untuk memelihara dan menjaga kelestarian pokok bakau untuk tempoh setahun,” katanya. 

Katanya, majlis penanaman itu terbuka kepada 20 peserta di Sungai Tembus. Mereka yang berminat untuk menyertai projek boleh mendapatkan maklumat di https://form.jotform.com/220261330125034.

Ahmad izzudin berkata, matlamat utama projek ini untuk menggalakkan pembiakan habitat asal dan meningkatkan kepelbagaian bio yang dapat menambah sumber pendapatan kepada nelayan di Sungai Tembus.

Ujarnya, pokok bakau berkenaan akan ditanam di luar pesisir dan hanya boleh diakses menggunakan bot.

“Penyumbang akan dimaklumkan status pokok angkat mereka dari masa ke masa dalam tempoh setahun. Sekiranya pokok tersebut mati, nelayan di situ akan menanam semula pokok tersebut.”

“Selain pokok angkat, kami mengalu-alukan sukarelawan yang berminat untuk menjaga pokok bakau tersebut. Melalui projek ini, generasi muda dapat menimba pengetahuan mengenai ekologi dan keperlbagaian bio seterusnya meningkatkan kesedaran pentingnya bakau untuk melindungi pinggir pantai,” katanya.

Orang awam juga boleh meraikan hari-hari istimewa seperti hari jadi dengan membeli pokok angkat sebagai simbolik berbudi kepada alam semula jadi.
Next Post Previous Post