APEC jangka pertumbuhan ekonomi sederhana


BANGKOK— Pertumbuhan ekonomi di rantau Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dijangka sederhana kepada 4.2 peratus tahun ini.


Analisis Trend Serantau APEC laporan Februari - "Pelbagai Ketidaktentuan Merencatkan Pemulihan" - telah menyatakan bahawa pertumbuhan ekonomi di rantau ini akan berterusan pada kadar yang sederhana pada tahun-tahun akan datang, berkembang 4.2 peratus tahun ini dan 3.8 peratus pada 2023.

Laporan oleh Unit Sokongan Dasar APEC berkata, inflasi yang lebih tinggi memberi cabaran tambahan kerana ia telah mendorong beberapa negara untuk mengetatkan dasar monetari, yang boleh memberi kesan yang lembap terhadap aktiviti ekonomi.

Penyelidik yang menulis laporan itu, Rhea C. Hernando menyatakan bahawa kadar inflasi APEC meningkat dua kali ganda kepada purata tiga peratus pada 2021 berbanding 1.5 peratus pada 2020 disebabkan oleh harga tenaga dan makanan yang lebih tinggi.

"Kami menjangkakan inflasi menjadi sederhana kepada 2.5 peratus pada 2022, dengan penurunan selanjutnya kepada 2.3 peratus menjelang 2023," katanya.

Hernando berkata pihak berkuasa ekonomi di rantau ini perlu meneruskan jangkaan inflasi utama dengan tujuan dasar monetari yang jelas, bersama-sama bagi menstabilkan keadaan global dan bekalan, untuk membantu menurunkan inflasi.

Pengarah Unit Sokongan Dasar APEC, Denis Hew berkata pertumbuhan APEC akan kekal tidak sama, kebanyakannya disebabkan oleh perbezaan dalam pengurusan pandemik dan liputan vaksinasi.

Beliau berkata pertumbuhan ekonomi China yang sederhana juga dijangka memberi kesan kepada prestasi ekonomi di rantau ini.

"Kami berurusan dengan pelbagai tekanan yang menggagalkan usaha kami untuk pemulihan," katanya.

Laporan itu berkata, pertumbuhan ekonomi di rantau APEC mungkin menyederhana pada 2021, yang menjejaskan sebahagiannya disebabkan kemunculan varian baharu Covid-19 serta inflasi yang tinggi hasil daripada kesan gabungan kejutan bekalan dan permintaan terpendam yang kuat.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di rantau ini berkembang sebanyak 5.8 peratus pada 2021, lebih rendah daripada unjuran enam peratus sebelum ini, kata laporan itu.

Melangkah ke hadapan, ia mencadangkan agar APEC terus mengutamakan kesihatan rakyat di rantau ini supaya mereka boleh pulih, membuka semula dan membina semula ekonomi.

Thailand, tuan rumah APEC 2022, akan membawa usaha melakar masa depan pasca-Covid-19 untuk rantau Asia Pasifik yang berdaya tahan, inklusif, seimbang dan mampan, dipandu oleh tema, “Terbuka. Terhubung. Seimbang”.

-- BERNAMA 
Next Post Previous Post