RM125,000 urus tapak sampah haram 2021

PADAWAN: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) membelanjakan kira-kira RM125,000 pada tahun 2021 untuk membersihkan sampah dan sisa pepejal yang dibuang secara haram di daerah itu.

Pengerusinya, Lo Khere Chiang berkata,  adalah lebih baik sekiranya perbelanjaan yang menggunakan wang pembayar cukai itu digunakan untuk menaiktaraf dan membina kemudahan kawasan itu.
“Saya memohon orang awam agar memberikan kerjasama termasuk memberi maklumat jika ternampak individu membuang sampah secara haram.”

“Mereka boleh mengambil video dan kongsikan di media sosial bagi membolehkan pihak MPP memantau. Kerjasama semua pihak amat perlu untuk 
menghentikan amalan membuang sampah merata-rata,” katanya di sini hari ini.
Lo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang menambah, orang ramai harus menjaga kebersihan terutama dalam keadaan negara masih dilanda COVID-19.

Sementara itu, MPP mengesan lima kawasan ‘hot spot’ yang sering menjadi tempat pembuangan sampah di sekitar daerah ini.
Lima kawasan itu ialah Jalan Kangkok, Batu Kawa; kawasan Kuching City Mall; Jalan Arang 15C1 dan Jalan Ensing Timur, Batu Kawa dan Jalan Khung Phin Ulu.

Kawasan kerap bagi longgokan sampah ini adalah di tempat kosong, lorong, tempat pembuangan sampah komersial dan tepi jalan.

Antara sampah yang kerap dilonggokan di kawasan tersebut ialah barangan isi rumah, bahan pembinaan dan pengubahsuaian, sisa kebun, perabot dan perkakas elektrik.

Kebanyakan pembuangan sampah secara haram dilakukan untuk mengelakkan bayaran pelupusan di tapak pelupusan yang ditetapkan atau gagal untuk melupuskan sampah dengan betul.

Lo menjelaskan, mengikut Seksyen 18 (3) Kerajaan Tempatan (Undang-undang Kecil Kebersihan 1999) individu yang didapati membuang sampah secara haram boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 bagi kesalahan pertama dan RM2,000 bagi kesalahan kedua atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-dua sekali.

Pembuangan sampah haram di merata-rata boleh menjejaskan kesihatan awam selain menyebabkan longkang tersumbat dan banjir kilat serta memusnahkan ekosistem hidupan dan tumbuhan.


Next Post Previous Post