Warga emas tidak guna topi keledar maut

KUCHING: Seorang penunggang motosikal maut apabila motosikalnya dirempuh sebuah motosikal lain di Jalan Sungai Buloh OFF Km 37, Jalan Kota Samarahan/Sadong Jaya malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata, dalam kemalangan jam 8.30 malam itu, mangsa Zen bin Abas, 64, dari Kampung Iboi, Sadong Jaya maut ditempat kejadian.

Beliau berkata, manakala seorang lagi penunggang motosikal, lelaki berusia 24 tahun mengalami luka-luka di bahagian kaki dan tangan serta di pinggang.

"Semasa kejadian, mangsa dalam perjalanan dari arah Sadong Jaya hendak menuju ke arah Simunjan."

"Apabila tiba di Jalan Sungai Buloh OFF Km 37 Jalan Kota Samarahan/Sadong Jaya semasa bergerak lurus di laluan yang betul,  mangsa tiba-tiba telah dilanggar dari arah belakang oleh sebuah motosikal yang bergerak lurus dari arah yang sama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexson berkata, rempuhan itu menyebabkan mangsa yang tidak memakai topi keledar mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital di tempat kejadian.

Mana kala seorang lagi yang mengalami cedera ringan di hantar  ke Klinik Sadong Jaya oleh JPAM untuk rawatan.

Beliau menambah, tempat kejadian juga gelap kerana tiada lampu di sepanjang jalan.

Kes masih dalam siasatan dibawah  Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Next Post Previous Post