Rakyat Malaysia bantu, lapan hari dapat bot

KUDAT — Hanya lapan hari, masalah murid sekolah yang berhimpit-himpit dalam bot kecil menuju ke Sekolah Kebangsaan (SK) Mengkapon, Pitas, selesai selepas rakyat Malaysia menghulurkan bantuan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Amal Team.

Perkembangan terbaru yang menyentuh hati ini dikongsikan oleh salah seorang penduduk Kampung Pituru, Khairul Abidin, 40, iaitu pemilik akaun Facebook A Korn Korn yang pertama kali memuat naik gambar murid itu di Facebook pada 13 Januari.
Menurut Khairul, beliau menerima banyak panggilan daripada NGO yang menyatakan hasrat untuk menyumbang namun Amal Team yang paling cepat bertindak.

“Pada 20 Januari, saya mendapat mesej daripada pengasas Amal Team, Mohd Zulhairi Zainol bahawa mereka mahu menyumbang dua buah bot selepas membaca hantaran itu.”
“Bot tersebut terus dihantar ke kampung pada keesokan hari dengan kos penghantaran ditanggung sekali,” kata Khairul seperti dipetik The Vibes.

Beliau mewakili penduduk kampung berterima kasih kepada semua penderma terutama Amal Team yang bertindak segera menyelesaikan masalah yang sudah berlarutan bertahun-tahun dalam tempoh singkat.
Setiap bot yang diperbuat daripada fiber itu boleh memuatkan sehingga 20 murid dan digunakan untuk menghantar murid-murid dari dua buah kampung iaitu Kampung Pituru Timbang Taun dan Kampung Mengkapon Laut ke SK Mengkapon, kira-kira 30 hingga 40 minit perjalanan.

Sebelum ini, pihak sekolah menyediakan jaket keselamatan yang disumbangkan oleh wakil rakyat. Namun ia tidak menyelesaikan masalah utama yang membelenggu murid-murid di situ sejak beberapa tahun lalu.
Susulan itu, Mohd Zulhairi Zainol yang terkesan dengan masalah yang dihadapi murid-murid tersebut telah melancarkan kutipan melalui Facebook beliau.

Beliau turut melawat murid-murid di Pitas semalam untuk menyelami kesusahan yang dialami penduduk di situ.

“Hery dalam perjalanan 30 minit ke sekolah mereka (SK Mengkapon) untuk merasai kesusahan anak-anak di sini ke sekolah.”

“Nanti bantu Hery belikan jaket keselamatan sebanyak 40 set dengan anggaran harga RM35 satu,”coretnya di Facebook bersama sekeping gambar menaiki bot.

Mohd Zulhairi menambah, hasil sumbangan orang ramai murid-murid di Kampung Pitas kini dapat ke sekolah tanpa bimbang dengan keselamatan.

Beliau berkata, lawatan ke sana menyentuh perasaan dan membuka mata beliau betapa susahnya penduduk di situ.

Amal Team merupakan badan NGO yang menawarkan perkhidmatan pengurusan jenazah secara percuma di Bangi, Selangor.
Next Post Previous Post