Pembalakan baik untuk harimau

GUA MUSANG — Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) mendakwa aktiviti pembalakan di negeri ini  bagus untuk populasi harimau.

Pengarah JPNK, Abdul Khalim Abu Samah berkata, bila balak ditebang, pokok-pokok kecil akan tumbuh dan kancil akan datang. 

“Proses itu sebaliknya baik untuk pertambahan populasi berpandukan kepada kajian yang dibuat oleh seorang pakar dari Sarawak."

“Tetapi dalam hutan simpan, susah untuk harimau tangkap mangsa seperti kancil. Kesan pembalakan akan menyebabkan tumbuhnya tumbuhan baru yang menggalakkan kehadiran spesis haiwan yang menjadi makanan kepada harimau,” katanya dipetik Malaysiakini malam tadi.

Beliau mengulas dakwaan aktiviti pembalakan yang berleluasa boleh menyebabkan kepupusan harimau ketika operasi bersepadu pencerobohan Hutan Simpan Relai, di Gua Musang, Isnin.

"Berdasarkan fakta kajian oleh pakar, kawasan-kawasan selepas pembalakan sebenarnya bagus untuk populasi harimau,” katanya.

Tambah beliau, JPNK sentiasa patuh dengan catuan tebangan tahunan (CTT), malah aktiviti itu hanya berlaku di kawasan hutan simpan pengeluaran bukan hutan simpan perlindungan.

Menurut Khalim, Kelantan diberikan CTT tidak melebihi keluasan yang dibenarkan membabitkan keluasan 3,900 hektar setiap tahun.

Sementara itu, ramai netizen mempersendakan kenyataan Abdul Khalim sebagai suatu yang melucukan dan tidak masuk akal.
Aktivis alam sekitar, Shariffa Sabrina Syed Akil pula menyifatkan kenyataan itu sebagai jahil.

Beliau menggesa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bertindak segera membuat pembetulan dan memberi amaran kepada Abdul Khalim supaya berhenti mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Katanya, hanya PERHILITAN yang patut mengeluarkan kenyataan berhubung habitat harimau.
Next Post Previous Post