Pekerja China ditipu 'orang tengah'

BINTULU — Sekumpulan pekerja asing warganegara China di Taman Perindustrian Samalaju 
mengalami kerugian mencecah jutaan ringgit selepas menjadi mangsa penipuan.

Ahli Parlimen Bintulu, Dato’ Seri Tiong King Sing berkata, mangsa melalui seorang rakan telah mengenali seorang lelaki yang bertindak sebagai orang tengah untuk mengirimkan wang tersebut ke negara asal dengan kadar tukaran wang Renminbi yang lebih tinggi.

“Bagaimanapun selepas diserahkan, individu itu tidak memasukkan wang tersebut ke akaun bank yang sepatutnya di China. Malah lelaki itu memberikan pelbagai alasan dan mengelak permintaan pekerja untuk memulangkan wang.”

“Setahu saya, wang tersebut mencecah beberapa juta ringgit. Pekerja tersebut telah membuat laporan polis. Lelaki itu berjanji untuk membayar secara dua kali pembayaran namun sehingga sekarang mereka belum menerima apa-apa,” katanya dalam kenyataan seperti dipetik The Borneo Post hari ini.

Tiong menambah, beliau sendiri melaporkan kes itu kepada Ketua Polis Daerah Bintulu Superitenden Zulkipli Suhaili dan menggesa siasatan dilakukan serta-merta.

“Saya mahu individu itu dipanggil bagi membantu siasatan sehingga ke lubang cacing. Kes ini wajar diteruskan mengikut undang-undang yang paling ketat," katanya.

Beliau mengingatkan warga Bintulu agar berwaspada tidak tertipu untuk menggelakkan perkara seumpama ini berulang.

“Jika ada sesiapa yang sengaja melanggar undang-undang, kita kena ikuti dengan saluran undang-undang yang sepatutnya.”

Tegas Tiong, tiada sesiapa dibenarkan menjalankan perniagaan pertukaran mata wang tanpa lesen daripada kerajaan.
Next Post Previous Post