Mencari Search sebenar

KUALA LUMPUR: Kumpulan rock legenda, Search terus dibaluti kontroversi susulan situasinya yang kini seolah-olah ada dua kumpulan.

Pertikaian mengenai mana satu Search yang sebenar masih hangat dibincangkan di media sosial seperti Facebook, terutama di kalangan peminat rock legenda yang popular menerusi lagu Fantasia Bulan Madu itu.
Pemerhati muzik tanah air menyifatkan kumpulan yang sudah lebih 30 tahun dalam industri hiburan kini ibarat kapal pecah dua.

Search pertama dianggotai pemain gitar adik beradik, Din atau nama sebenar Nordin Mohd Taib dan Kid atau nama sebenar Hamzah Mohd Taib.

Mereka baru-baru ini memperkenalkan vokalis baharu, Denden Gonjales, penyanyi dari Indonesia.

Search kedua pula dianggotai pemain bass, Nasir Daud bersama bekas vokalis, Amy atau nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman.

Turut menyertai Nasir dan Amy ialah Man Kidal dan Hillary Ang, anggota asal kumpulan itu. Mereka kini dalam proses rakaman single terbaharu, seperti dipetik Harian Metro baru-baru ini.

Sebenarnya kontroversi ini sudah tercetus sejak tahun 2020 yang menjurus kepada kumpulan Search terbahagi dua.

Ini bermula selepas Amy mengumumkan dia berundur daripada Search pada Mac 2020. Secara rasional, Amy bukan lagi anggota Search.

Sedangkan, Noordin dan Kid pula tidak pernah mengatakan mereka meninggalkan Search, maka kedua-duanya memang anggota Search.

Amy ketika diwawancara Berita Harian HIP berkata, sikap tidak profesional Din dan Kid punca dia mengundurkan diri dan akan terus menggunakan nama kumpulan ikonik untuk ahli kumpulan yang baharu.

Amy  mendakwa, Kid dan abangnya didakwa sering tidak hadir pada sesi latihan dan promosi album, selain tidak menyempurnakan kerja rakaman album Katharsis yang diterbitkan pada 2017.

Kemuncak kepada kontroversi ini ialah apabila pemain bes Nasir Daud, Amy dan waris keluarga pemain dram, Allahyarham Yazit Ahmad mendakwa pemilik syarikat Home of Champions, Mozylir Mokhtaruddin, Din dan Kid menggunakan nama Search untuk mengaut keuntungan tanpa kebenaran mereka.

Menurut Din lagi sebelum ini dia dan Pengurus HOC, Mozylyr Mokhtaruddin, sudah memaklumkan rancangan mereka kepada Nasir terlebih dulu.

“Dalam isu ini, Nasirlah seharusnya tampil menjelaskan perkara sebenar. Jika dia boleh datang dan berbincang terlebih dulu dan bagitahu apa masalah sebenar, kami semua boleh elakkan pergaduhan,” katanya.

Katanya, kemelut Search sudah lama timbul, namun bertambah runcing selepas Amy membuat keputusan meninggalkan band itu pada Mac tahun lalu.

Kid pula berkata, mereka tetap memberikan restu kepada Amy dan Nasir menggunakan nama Search.

“Kami berharap perkara ini tidak perlu sampai ke mahkamah, sebab kami enggan berbalah. Saya pun cuma nak tadbir kumpulan ini sebab pengurusan sebelum ini tak bagus.”

“Cuma ikut rasional, kita tak perlu pergi mahkamah bagi tentukan siapa berhak sebab kami berdua tak pernah keluar Search,” katanya.



Next Post Previous Post