Lelaki maut, wanita parah, motosikal berlanggar 4wd

BINTULU — Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera apabila motosikal mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah pacuan empat roda di Jalan Tanjung Kidurong semalam.

Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang merupakan penunggang motosikal dikenali sebagai Saiful Hafeez Senuhi, 33, beralamat di Kampung Hilir Beladin, Pusa disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di wad kecemasan Hospital Bintulu.

Manakala pembonceng, perempuan berusia 33 tahun patah di bahagian paha kanan dan kaki kanan.

“Kemalangan berlaku sekitar jam 6.20 petang melibatkan kenderaan Nissan Navara yang dalam perjalanan dari arah Jalan Nyabau menuju ke RPR Kidurong.”

“ Sebaik sahaja hendak memasuki simpang hadapan Hospital Columbia Asia, kenderaan itu berlanggar dengan motosikal mangsa yang bergerak lurus dari arah bandar di sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun  pemandu kenderaan, lelaki berusia 20 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Next Post Previous Post