Timbalan Menteri Dalam Negeri China disiasat rasuah

Seorang bekas timbalan menteri dalam negeri China, yang juga mengurus COVID-19 di Wuhan mengaku menerima wang rasuah lebih 90 juta yuan (RM48 juta ) dengan menggunakan makanan laut sebagai kod untuk pertukaran wang.

Sun Lijun yang memegang jawatan itu sehingga 2020 berkata, dia menerima ‘kotak kecil makanan laut’ itu antara empat hingga lima kali dalam tempoh setahun.

Pengakuan itu didedahkan dalam satu dokumentari sepanjang lima episod yang disiarkan penyiar rasmi negara itu, China Central Television pada Sabtu.

Menurut Sun, dia menerima wang dan kad deposit bank daripada Wang Li-ke, bekas timbalan ketua polis wilayah Pantai Timur-Tengah Jiangsu.

Sebagai balasan, Wang dilantik sebagai ketua polis di wilayah yang terkenal dengan pengeluaran ketam dan ikan.

“Wang turun ke Beijing antara empat hingga lima kali dalam setahun. Setiap kali datang, dia memberitahu ada membawa ‘sedikit makanan laut’, kemudian saya tahu apa yang berlaku.”

“Beliau memberi $300,000 [sekitar£219,300] dalam kotak kecil makanan laut,” kata Sun menurut SCMP.

Sun adalah antara ahli politik berprofil tinggi yang disiasat di bawah kempen anti rasuah Presiden Xi Jinping, yang dilancarkan selepas beliau berkuasa akhir 2012.

Pada September tahun lepas, Sun dipecat daripada Parti Komunis China. 

Minggu lalu, dia didakwa kerana menerima rasuah, memanipulasi pasaran sekuriti dan memiliki senjata api secara haram.

Pelantikan Sun bagi menyelia pandemik COVID-19 di Wuhan pada 2020 turut mencetuskan bantahan di kalangan anggota polis dan pegawai kerajaan yang menentang kegiatan rasuah.

Tatkala Wuhan ‘berperang’ dengan COVID-19, Sun yang sepatutnya mengendalikan pandemik itu dituduh mengabaikan jawatannya itu.

Dia turut dituduh menjual jawatan rasmi dan menerima rasuah dalam bentuk "jumlah wang dan harta yang banyak, menghadiri jamuan dan aktiviti hiburan mewah, dan menjalani gaya hidup mewah untuk masa yang lama.

Tindak-tanduk Sun ini mencetuskan perdebatan mengenai amalan lama merasuah pegawai menggunakan kotak hadiah kuih bulan dan teh.

Sun turut mengaku membantu Wang naik pangkat.

"Saya melihat dia sebagai salah seorang daripada orang saya sendiri," katanya.

Wang turut dipecat daripada parti dan didakwa atas tuduhan rasuah.

Parti Komunis China di bawah Xi ketika ini sedang giat menghapuskan amalan rasuah di negara itu. 

Di bawah kempen anti-rasuah itu, beratus-ratus pegawai keselamatan telah disingkirkan atas tuduhan rasuah - satu langkah yang juga dilihat sebagai percubaan presiden untuk menyingkirkan pesaing dan pengkritik politik yang berpotensi.
Next Post Previous Post