Jejambat batu 7 siap April, batu 6 siap Mei


KUCHING, 18 Januari 2022: Masalah kesesakan lalulintas yang dialami oleh pengguna jalan raya di sekitar Batu 6, Batu 7 dan Batu 10 akibat kerja-kerja pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo di jajaran Seksyen Kuching-Serian Road (KSR) dijangka berakhir menjelang awal bulan Mei tahun ini dengan jaminan yang diberikan oleh pihak kontraktor.


Dengan Lanjutan Tempoh Masa (EOT) yang diberikan akibat daripada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang lepas, kini kerja-kerja pembinaan empat jejambat (Batu 6, Batu 7 dan Batu 10), yang merupakan salah satu daripada jajaran seksyen di bawah Pakej Kontrak Kerja 02 (WPC02), sedang berjalan dengan aktif manakala jejambat Batu 4½ telah siap sepenuhnya dan dibuka kepada orang awam pada 10 Mac 2021.


Bagi pembinaan Jejambat Batu 6 (Mile 6 Interchange) pula pembinaan struktur jejambat telah siap dan pada masa ini pihak kontraktor sedang giat melakukan kerja-kerja pembinaan struktur penampan (abutment) di bahagian jejambat B serta serta kerja-kerja pembinaan jalan. Manakala kerja-kerja pembinaan penampan (abutment) di jejambat A kini telah mencapai 90%.


Dijangkakan pembinaan jejambat Batu 6 akan siap dan boleh dibuka kepada umum seawal bulan Mei tahun ini.


Manakala Jejambat Batu 7 (Mile 7 Interchange) pula kerja-kerja pembinaan jejambat Batu 7, pembinaan struktur jejambat telahpun siap dan pihak kontraktor kini sedang giat melakukan kerja-kerja pembinaan penampan (abutment) bagi jejambat A (85%) dan jejambat B (40%) serta kerja-kerja pembinaan struktur jalan.


Dijangkakan kerja-kerja pembinaan di jejambat Batu 7 akan siap dan boleh dibuka kepada umum menjelang bulan April 2022.


Untuk Jejambat Batu 10 (Mile 10 Interchange) pula, kerja-kerja pembinaan jejambat Batu 10, pembinaan struktur jejambat telahpun siap dan pihak kontraktor kini sedang giat melakukan kerja-kerja pembinaan penampan (abutment) bagi jejambat A (90%) dan jejambat B (70%) serta kerja-kerja pembinaan struktur jalan.


Dijangkakan kerja-kerja pembinaan di jejambat Batu 10 juga akan siap dan boleh dibuka kepada umum menjelang bulan April 2022.


Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti akur terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh pihak kerajaan, isu kekurangan tenaga kerja (kekangan buruh asing untuk masuk semula selepas perlaksanaan beberapa siri PKP), isu tanah, pemindahan utiliti (berkaitan dengan bekalan air, elektrik dan telekomunikasi) dan kesesakan lalulintas, pihak JKR Sarawak akan terus memastikan pihak kontraktor menyiapkan kesemua kerja-kerja pembinaan mengikut jadual yang telah diberikan seperti terkandung di dalam kontrak.


Manakala pihak kontraktor juga telah memberi komitmen untuk menyiapkan kerja-kerja berkenaan seperti yang telah dijanjikan.


Sementara kerja-kerja pembinaan masih lagi giat berlangsung, pihak JKR Sarawak ingin sekali lagi mengingatkan orang ramai untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan seperti memandu mengikut had laju dan mengikut papan tanda trafik yang ada.


Segala kesulitan amatlah dikesali dan kerjasama daripada semua pihak amatlah kami hargai demi keselesaan bersama pada masa hadapan.

Next Post Previous Post