Sarawak siap siaga hadapi ledakan COVID-19


KUCHING — Sarawak memperuntukkan sejumlah RM1.3 juta bagi menyediakan kelengkapan untuk menghadapi kemungkinan peningkatan mendadak COVID-19 selepas musim perayaan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, pihaknya telah menambah sepuluh katil baru di Unit Rawatan Rapi (ICU), 30 point bantuan pernafasan ventilator, paip gas bernilai RM500,000 dan 40 katil di wad biasa.
““Hospital Umum Sarawak juga menyediakan Unit ICU Hybrid bagi memastikan opeasi harian tidak terjejas sekiranya berlaku ledakan COVID-19.”

“Selain itu jumlah katil ditambah bagi menampung kemudahan yang sedia ada sekiraya berlaku peningkatan kes,” katanya kepada media selepas melawat fasiliti di HUS hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian.

Beliau menambah, jumlah kemasukan hospital rendah namun ini tidak bermakna kerajaan leka tidak membuat persiapan.

 Uggah turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa sambutan Tahun Baru Cina bagi mengurangkan penularan wabak COVID-19.

“Jangan lupa bahawa wabak ini masih ada. Setakat ini kita berjaya mengekang wabak ini kerana rakyatnya berdisiplin,” katanya.

Sementara itu Dr Sim menambah, operasi di HUS kini hampir kembali pulih seperti biasa.

“Operasi di hospital sudah kembali normal. Jumlah katil yang digunakan pesakit COVID-19 pun sudah berkurangan.”

Katanya, kerajaan negeri amat membantu dengan menyediakan wad khas atau wad hibrid untuk COVID-19 bagi membolehkan wad hospital digunakan pesakit yang lain bukan COVID-19.
Next Post Previous Post