Krew kapal warga emas positif di Bintulu

KUCHING: Sarawak merekodkan satu kes positif COVID-19 dilaporkan di daerah Bintulu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif sebanyak 580 kes.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata, kes yang ke-580 merupakan seorang lelaki berumur 59 tahun, warganegara Indonesia iaitu seorang daripada krew kapal LNG Jupiter, yang dalam pelayaran dari Singapura ke perairan Sabah (LNG Sabah).

Menurutnya, LNG Jupiter merupakan sebuah kapal tangki minyak yang didaftarkan di Nassau, Bahamas milik Lloyds Bank Equipment Leasing (No.7) Limited dan dikendalikan oleh NYK LNG Shipmanagement (UK) Limited.

"Kapal LNG Jupiter sign on dari pelabuhan Himeji, Jepun dan mula belayar pada 23 Jun 2020 dan berlabuh di periaran Singapura pada 3 Julai 2020 dengan membawa 30 orang krew.

"Kes telah menjalani saringan swab PCR COVID-19 di Indonesia pada 16 Jun 
2020 dan pada 22 Jun 2020 di Lapangan Terbang Kansai Jepun sebelum 
mula belayar pada 23 Jun 2020. 

Keputusan kedua-dua swab PCR pada ketika itu adalah negatif," katanya dalam sidang media hari ini.

Douglas berkata, pesakit mula mengalami cirit-birit dan pitam pada 3 Julai semasa 
memasuki perairan Singapura.

"Pada hari yang sama, semasa berlabuh di perairan Singapura bagi tujuan pembaikan kapal, beliau juga telah mengadu demam, sesak nafas dan sakit kepala.

"Beliau telah diberi rawatan oleh Pegawai Perubatan dari NYK LNG Shipmanagement (UK) Limited.

"Tiada saringan COVID-19 dijalankan. LNG Jupiter mula berlayar semula menuju ke 
kawasan perairan Sabah pada 4 Julai 2020.

"Pada 11 Julai semasa berada berdekatan dengan perairan Bintulu, Sarawak keadaan kesihatan beliau semakin teruk mengalami sesak nafas.

"Kapten kapal telah menghantar mesej bantuan kecemasan kepada agen perkapalan di Pelabuhan Bintulu dan memohon kebenaran untuk membawa turun dari kapal untuk rawatan lanjut.

"Beliau telah dibawa oleh agen perkapalan ke Borneo Medical Centre (BMC), 
Bintulu pada malam 11 Julai 2020 dan telah dibuat saringan COVID-19," katanya.  

Beliau menambah, saringan awal menunjukkan beliau telah reaktif RTK Antibody dengan IgG dan IgM adalah positif COVID-19.

Beliau kemudian terus dirujuk dan dibawa 
oleh agen perkapalan ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut dan dikategorikan sebagai Patient Under Investigation (PUI).

"Semasa berada di Hospital Bintulu, beliau berada dalam keadaan tidak sedar diri dan diberi bantuan alat pernafasan. 

"Siasatan lanjut ujian makmal untuk rT-PCR COVID-19 mendapati ujian swab nasopharyngeal dan oropharyngeal beliau adalah positif untuk COVID-19 pada 12 Julai 2020," katanya.

Menurutnya, tiada kes baru yang telah sembuh dan discaj dari hospital hari ini.

Katanya, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 
yang telah sembuh dan discaj kekal sebanyak 552 orang atau 95.17%.
Next Post Previous Post