1,000 doktor, saintis veterinar diperlukan menjelang 2030 di Sarawak- Dr Rundi
KUCHING-- Kira-kira 1,000 doktor dan saintis veterinar bertauliah diperlukan di Sarawak menjelang 2030, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Jelasnya, hal ini kerana ketika ini, hanya 96 doktor veterinar yang bekerja di kedua-dua sektor awam dan swasta di Sarawak.
Tambah beliau, ini juga susulan cadangan penubuhan Pusat Pengajian Perubatan Veterinar di Semenggok yang telah dikemukakan.
"Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya 1,000 doktor veterinar bertauliah termasuk saintis haiwan dan para veterinar menjelang 2030.
“Pada masa sama, Kementerian saya bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) dalam usaha merealisasikan penubuhan Pusat Pengajian Perubatan Veterinar.
“Beberapa pertemuan antara kementerian saya dan MEITD bersama-sama dengan UPM telah diadakan untuk membincangkan dan memuktamadkan model pengurusan bagi cadangan Pusat Pengajian Perubatan Veterinar,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Dengan penubuhan Pusat Pengajian Perubatan Veterinar Dr Rundi berkata, ia akan memperkukuh perkhidmatan veterinar di Sarawak untuk membasmi penyakit zoonotik dan mempercepatkan pembangunan industri ternakan bernilai RM3 bilion di Sarawak.
"Senat UPM telah mengesahkan cadangan model pengurusan yang digubal oleh Pasukan Petugas," ujarnya.
Selain itu, katanya, kementeriannya menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak telah membentangkan cadangan penstrukturan semula untuk penambahan 566 jawatan kepada Jawatankuasa Pembangunan Organisasi Sarawak (SODC) yang telah dipersetujui secara prinsip pada 21 Ogos 2024.