Seorang lelaki, dua wanita di Kampung Sungai Jernang ditangkap polis kerana terlibat dadah

KOTA SAMARAHAN-- Tiga individu termasuk dua wanita ditangkap disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah di sebuah rumah di Kampung Sungai Jernang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Jaimi Husin berkata, tiga suspek terdiri daripada seorang lelaki berusia 40-an dan dua wanita berusia 20-an ditangkap sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan.

"Serbuan dan pemeriksaan di sebuah rumah di kawasan Kampung Sungai Jernang, Kota Samarahan telah menahan seorang lelaki dan dua wanita kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah. 

"Hasil pemeriksaan lanjut, telah merampas sepaket plastik yang mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan berat dianggarkan 60.00 gram bernilai RM6,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, ketiga-tiga suspek kemudian dibawa balik ke Pejabat BSJN IPD Kota Samarahan untuk tindakan lanjut. 

Tambah Jaimi, ujian air kencing telah dijalankan ke atas ketiga-tiga suspek dan dapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine. 

Berikutan itu tegasnya, ketiga-tiga suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

"Selain itu, mereka turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa denda tidak lebih dari Rm 5000 atau penjara tidak lebih daripada 2 tahun serta diwajibkan menjalani pengawasan polis/AADK selama tempoh 2 tahun," jelasnya.

Katanya lagi, permohonan reman telah dimohon oleh pegawai penyiasat untuk memohon tahanan reman bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan ke atas suspek.

"Kini pihak polis dari BSJN IPD Kota Samarahan bergiat aktif melakukan penugasan operasi di kawasan pentadbiran Kota Samarahan bagi membendung lagi gejala aktiviti penyalahgunaan dadah," ujarnya.
Next Post Previous Post