Penunggang motosikal maut dirempuh bas pekerja
BINTULU -- Seorang lelaki yang bekerja sebagai pengawal di salah sebuah syarikat perindustrian di sini maut dirempuh sebuah bas dalam kemalangan yang berlaku di kawasan simpang 4 di kawasan perindustrian Samalaju awal pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali, dalam insiden yang berlaku pada jam 6.40 pagi itu, mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 20 tahun disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Bintulu yang turut berada di lokasi kejadian.
Jelasnya, kemalangan dipercayai berlaku semasa sebuah bas yang membawa 20 pekerja kilang sedang bergerak dari arah Jalan Saberkas menuju ke sebuah kilang di Samalaju terbabit kemalangan dengan motosikal model sebuah motosikal ditunggang mangsa.
"Sampai di kawasan simpang empat berdekatan sebuah pasar raya bas terbabit telah melanggar sebuah motosikal yang bergerak dari arah kanan simpang berkenaan,' ujarnya.
Adalah difahamkan bahawa mangsa yang dari arah kuarters Eco Park Samalaju dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke tempat kerja.
Kes ini kata Nixon akan disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar mengenai insiden yang berlaku kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh tampil dan menghubungi pegawai penyiasat kes iaitu Inspentor Lydia Allan dari Balai Trafik Bintulu di talian 086-338575 atau Bilik Gerakan IPD Bintulu 086-318304.