Penganggur di Kampung Hilir Kuala Matu tikam dua lelaki hanya kerana ditegur rem motosikal
SIBU-- Seorang penganggur didakwa atas dua tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas dua lelaki di Kampung Hilir Kuala Matu pada 20 Oktober lalu gara-gara ditegur membuat bising dengan memulas minyak (rem) ketika menunggang motosikal di sekitar jalan di kampung berkenaan.
Mohd Faiz Bin Sajali, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan tersebut di hadapan Hakim Stella Augustine Druce.
Tertuduh didakwa atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada dua lelaki di Kampung Hilir Kuala Matu.
Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Hakim Stella menetapkan 13 November untuk sebutan semula kes dan tertuduh ditahan di Penjara Sibu kerana gagal membayar ikat jamin sebanyak RM5,000 berserta dua penjamin.
Berdasarkan fakta kes, Mohd Faiz didakwa melakukan perbuatan itu pada 20 Oktober lalu sekitar jam 9 malam di Kampung Hilir Kuala Matu dengan menikam seorang lelaki menggunakan sebilah pisau.
Tertuduh dikatakan bertindak sebegitu selepas ditegur mangsa kerana dia membuat bising menggunakan motosikal di hadapan rumah mangsa.
Susulan kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian dada sebelah kanan dan telah dikejarkan ke Hospital Daro.
Selain itu, tertuduh juga menikam anak saudara lelaki mangsa yang berusia 36 tahun ketika cuba meleraikan kejadian tersebut.
Mangsa turut diserang oleh tertuduh menggunakan sebilah pisau dan mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri.
Akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa menerima tiga jahitan manakala bapa saudara mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian dada sebelah kiri telah dihantar ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut.
Berikutan itu, mangsa tampil membuat laporan polis.
Tertuduh ditangkap pada jam 10.40 malam pada 20 Oktober di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Hilir Kuala Matu.
Semasa tangkapan, tertuduh enggan memberikan kerjasama dan bertindak agresif serta cuba melarikan diri sehingga pihak polis terpaksa menggunakan kekerasan yang minima semasa menjalankan tangkapan.
Polis turut menemukan sebilah kapak berhulu kayu (mempunyai kesan darah) yang berukuran panjang lebih kurang 42 cm dan sebilah pisau jenama Jaya Mata berhulu plastik warna biru (mempunyai kesan darah) yang berukuran panjang lebih kurang 25 cm.
Kesemua barang-barang tersebut dirampas oleh pihak polis untuk dijadikan barang kes.