Cari penyelesaian alternatif dahulu, elak roboh bangunan lama yang mungkin ada nilai sejarah
KUCHING -- Guna penyelesaian alternatif lain untuk mengatasi masalah banjir kilat di bandar raya ini khasnya di Hospital Umum Sarawak bukannya meroboh bangunan lama yang mungkin mempunyai sentimen dan nilai sejarah.
Ini disuarakan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang memberitahu cadangan meroboh bangunan lama bekas asrama jururawat di Jalan Crookshank di sini, untuk dijadikan kolam takungan air bagi membantu menangani masalah banjir di kawasan itu dan sekitarnya, terutama Hospital Umum Sarawak mungkin bukanlah satu cara untuk mengatasi masalah tersebut.
Beliau berpandangan masalah banjir kilat disebabkan sistem perparitan yang bersesuaian.
"Pada pandangan peribadi saya, semua kita maklum bagaimana keadaan parit di kawasan tersebut yang mempunyai saiz yang kecil (kurang lebar dan dalam).
"Setiap kali hujan turun dengan lebat parit ini tidak dapat menampung air hujan yang turun hingga ia melimpah ke luar.
"Jadi saya berpandangan parit ini perlu mempunyai keleberan yang lebih luas dan kedalaman yang lebih dalam," katanya ketika mengulas mengenai perkara itu pada sidang media Persidangan dan Ekspo Global Kraf Borneo di sini hari ini.
Tegas Abdul Karim, jika benar cadangan itu hanya satu-satunya cara mengatasi masalah banjir di Kuching amnya dan Hospital Umum Sarawak khasnya, beliau akan menyokong sepenuhnya tanpa rasa berbelah-bahagi.
"Saya sendiri tidak diperjelaskan status bangunan lama ini sama ada ia mempunyai nilai sejarah atau sebaliknya kerana pihak terlibat dalam perancangan projek itu tidak berbincang dengan saya tentang status bangunan lama ini," katanya.
Justeru, beliau berharap setiap perancangan melibatkan bangunan lama di negeri ini dibuat penilaian terlebih dahulu sebelum ia dirobohkan.
"Bangunan-bangunan lama ini mempunyai sentimen dan nilai sejarah kepada sesetengah orang yang harus kita jaga dan pelihara.
"Kalau ia sudah dirobohkan kita tidak dapat membina semula bangunan yang mempunyai nilai sejarah ini. Maka, sejarah itu akan hilang begitu sahaja," ujarnya.
Pada Ahad, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak akan meneliti permintaan Persatuan Warisan Sarawak (SHS) untuk memelihara bangunan bekas asrama jururawat di Jalan Crookshank di sini, bagi tujuan pemuliharaan warisan tapak itu.
Beliau sudah menerima surat daripada SHS yang memohon bantuannya untuk menghentikan rancangan merobohkan bangunan tersebut.
“Kita akan meneliti perkara ini kerana dari segi nilai warisan bangunan bekas asrama jururawat itu, saya belum pasti.
“Jika ia seperti pejabat pos atau balai polis, ia telah diisytiharkan sebagai bangunan bersejarah atau warisan termasuk Sekolah Menengah Chung Hua No.4 di Jalan Haji Taha.
“Jadi ia mestilah mempunyah nilai sejarah tetapi bangunan ini hanya untuk melatih jururawat,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Biografi Gabenor Pertama Sarawak: Tun Openg di Pusat Acara Hikmah Exchange pada Ahad.
Sebelum ini, Presiden SHS Datin Rosemarie Wong-Jabu pada mesyuarat agung tahunan (AGM) persatuan itu pada 3 Ogos telah menggesa campur tangan Kerajaan Sarawak dalam menghentikan rancangan untuk merobohkan bangunan bekas asrama jururawat di persimpangan Jalan Crookshank dan Jalan Tun Abang Haji Openg di sini.
Katanya, bangunan itu akan dirobohkan untuk dijadikan kolam takungan air bagi membantu menangani masalah banjir di kawasan itu dan sekitarnya, terutama Hospital Umum Sarawak (HUS) yang terletak berhadapan dengan tapak tersebut.
Beliau berkata, bangunan bekas asrama jururawat adalah elemen penting dalam warisan bersejarah Sarawak apatah lagi ia masih kukuh dari segi strukturnya.
Justeru, Rosemarie mencadangkan agar bangunan itu dinaik taraf untuk dijadikan mungkin bagi tujuan penggunaan komersial seperti penginapan untuk pelawat pesakit hospital atau sebuah muzium kecil bagi mengiktiraf sumbangan jururawat kepada rakyat negeri ini.