Projek bekalan air luar bandar Sabah, Sarawak tertangguh akan diteliti- Fadillah

KUCHING-- Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof akan meneliti 12 projek bekalan air luar bandar (BALB) di Sarawak dan 24 projek di Sabah melibatkan nilai keseluruhan berjumlah RM1.6 bilion yang tertangguh sehingga tujuh tahun seperti Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2024 Siri 2.

Beliau memberitahu, hal ini kerana hal ehwal Sabah dan Sarawak di bawah tanggungjawabnya.

Pada rombakan Kabinet 12 Disember tahun lepas, Fadillah diberi portfolio baharu untuk menerajui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta bertanggungjawab terhadap hal ehwal Sabah dan Sarawak.


"Untuk air ada dua kementerian yang jaga, satu di bawah PETRA dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kalau yang melibatkan bekalan air luar bandar.

"Yang menjadi isu sekarang adalah bekalan air luar bandar, tetapi apapun saya meneliti segala laporan audit dan kalau melibatkan kementerian kami, apatah lagi melibatkan negeri Sarawak dan Sabah di mana di bawah tanggungjawab saya, kita akan bawakan perkara ini di peringkat kementerian masing-masing untuk mencari jalan mengenal pasti apakah masalahnya.

"Lebih utama ialah untuk kita pastikan projek dan program yang tergendala dapat disiapkan," Katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutupan Program Bantuan Lesen Memandu (MyLesen) B2 Peringkat Parlimen Petra Jaya di Dewan Masjid Al-Abyad Taman Matang Jaya di sini, pada Sabtu. 

Mengulas lanjut, Fadillah berkata di peringkat Sarawak dan Sabah, mereka memohon supaya projek bekalan air bernilai RM50 juta ke bawah dilaksanakan secara langsung oleh kerajaan Sarawak dan Sabah. 

Jelasnya, ia antara perkara yang akan dibawa kepada Majlis Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang sedang ditentukan tarikhnya mengikut kesesuaian tarikh Perdana Menteri, Premier dan Ketua Menteri Sabah. 


Dalam pada itu, Fadillah berkata, untuk PETRA, LKAN itu lebih kepada teguran kelemahan dalam melaksanakan projek dan tidak melibatkan salah guna kuasa dan sebagainya. 

Sebelum ini, LKAN Tahun 2024 Siri 2 mendedahkan sebanyak 12 projek bekalan air di Sarawak dan 24 projek di Sabah dengan kos berjumlah lebih RM1.6 bilion masih dalam perancangan meskipun telah mendapat kelulusan pada 2016, 2017 dan 2018.